- Iklan -
Berita

Peraturan Parlimen halang sesi PSC didedah kepada umum

Isu ini timbul selepas pengarah NGO menggesa peraturan tersebut diabaikan bagi pertemuan antara PSC dan pegawai tertinggi SPRM Azam Baki.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.

Butiran dan bukti yang diambil dalam mana-mana prosiding dijalankan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) tidak boleh didedahkan kepada umum kerana ia melanggar Peraturan Mesyuarat Parlimen berhubung pengendalian jawatankuasa dwi-partisan itu.

Perkara tersebut timbul ekoran gesaan seorang aktivis NGO yang baru-baru ini mengulangi dakwaan terhadap Azam Baki supaya prosiding terbuka dijalankan melibatkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Pengarah NGO C4 Center Edmund Terence Gomez yang juga bekas penasihat SPRM menulis beberapa artikel mengandungi dakwaan terhadap Azam selain turut menggesa PSC menjalankan sesi prosidingnya secara terbuka dengan jemputan liputan media.

Gomez berkata beliau tidak yakin ahli-ahli Parlimen dalam jawatankuasa tersebut akan bertanyakan “soalan yang betul” kepada Azam.

“Adakah akan ada percubaan untuk menghalang soalan tertentu daripada ditanya? Adakah terdapat cubaan oleh ahli politik tertentu menyembunyikan hal sebenar?” katanya kepada Malaysiakini.

Namun, semakan terhadap Peraturan Mesyuarat menunjukkan bahawa ahli Parlimen dilarang daripada mendedahkan butiran siasatan PSC sehingga laporannya dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menurut peruntukan yang ada dalam Peraturan Mesyuarat Parlimen: “Keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh siapa-siapa ahli Jawatankuasa itu, atau oleh siapa-siapa jua, sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Majlis.”

PSC ialah kumpulan sub-legislatif yang terdiri daripada ahli Parlimen yang terpilih daripada blok kerajaan dan pembangkang bagi menangani bidang kepentingan tertentu yang ditugaskan Dewan Rakyat.

Pada 19 Januari depan, Azam dijangka akan disoal siasat oleh PSC mengenai beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, sebuah jawatankuasa terdiri daripada Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Warisan.

Prosiding tersebut merupakan kali kedua seorang ketua SPRM dipanggil ke Parlimen bagi menjawab soalan yang dibangkitkan ahli politik.

Pada 2019, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya turut pernah dipanggil PSC, sebulan selepas pelantikannya mendapat reaksi dan kritikan daripada beberapa pemimpin PKR, yang membangkitkan isu bahawa pelantikannya perlu dilaksanakan melalui Parlimen.

Bagaimanapun, pengerusi PSC ketika itu, Ahli Parlimen PKR William Leong enggan mendedahkan butiran sesi prosiding tersebut.

“Kami tidak boleh mendedahkan apakah soalan dan jawapan yang dibincangkan dalam mesyuarat itu. Anda perlu menunggu sehingga laporan itu dibentangkan di Dewan Rakyat,” katanya.

Speaker beri amaran tentang kerahsiaan

Azam diserang ahli politik PH sejak Gomez meletak jawatan dari Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM dengan memetik dakwaan oleh Lalitha Kunaratnam, seorang aktivis yang sebelum ini bekerja dengan C4 Center.

Lalitha mendakwa wujud konflik kepentingan berhubung pemilikan saham syarikat oleh ketua SPRM itu, namun ia dinafikan oleh Azam.

Minggu lalu, Azam turut memfailkan saman fitnah bernilai RM10 juta terhadap Lalitha, beliau turut menuntut permohonan maaf secara terbuka daripadanya.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun ketika dihubungi mengesahkan bahawa anggota PSC dilarang mendedahkan sebarang butiran prosiding siasatan tersebut.

Azhar juga turut berkata sebarang pelanggaran Peraturan Mesyuarat boleh menyebabkan anggota PSC dikenakan tindakan.

“(Jika didedahkan) mereka dianggap melanggar Peraturan Mesyuarat, dan mungkin tertakluk kepada usul untuk merujuk mereka kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan,” katanya.

Azhar berkata walaupun laporan PSC boleh diterbitkan, ia hanya boleh dilakukan selepas hasil prosiding dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Semua jawatankuasa, sama ada jawatankuasa tetap atau PSC mesti mengikut Peraturan Mesyuarat. Pada masa ini Peraturan Mesyuarat tidak memperuntukkan pendengaran awam atau membuat prosiding secara terbuka,” tambahnya.