- Iklan -
Berita

SPRM lapor polis dakwaan palsu, tidak disahkan terhadap Azam

Seorang pembantu kepada Azam Baki berkata tidak menjadi satu kesalahan bagi pegawai penguatkuasa kanan untuk memiliki saham atau menjadi pengarah syarikat.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa polis menyiasat seorang aktivis NGO berhubung penerbitan berita palsu berkait sebuah artikel yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mempunyai konflik kepentingan dalam pemilikan beberapa saham syarikat, MalaysiaNow difahamkan.

Dalam sebuah laporan yang dilihat MalaysiaNow, Mohan Munusamy, yang merupakan penolong kanan pesuruhjaya SPRM berkata dakwaan yang dilakukan Lalitha Kunaratnam bukan sahaja salah fakta, bahkan membayangkan pegawai-pegawai kanan penguatkuasan badan itu melakukan rasuah hanya kerana mereka terlibat dalam perniagaan.

“Saya sedia maklum bahawa adalah tidak menjadi satu kesalahan jika seseorang pegawai penguatkuasa kanan memiliki saham atau menjadi pengarah mana-mana syarikat dan perkara ini tidak sama sekali dilarang oleh undang-undang di Malaysia,” katanya.

Ia juga turut berkata dakwaan terhadap Azam tersebut adalah “palsu, tidak berasas, berniat jahat”, sambil menambah artikel Lalitha, yang mempunyai kaitan dengan NGO C4 Center diketuai aktivis Cynthia Gabriel ditulis dengan tujuan memburukkan badan-badan penguatkuasaan dan pegawai kerajaan.

“Saya mendapati penulis artikel itu membuat kenyataan palsu tanpa sebarang percubaan untuk mengesahkannya, dia membuat kesimpulan sendiri bahawa semua penguatkuasan kanan akan menyalahgunakan kuasa dan melakukan rasuah jika mereka memiliki saham atau terlibat dengan perniagaan,” tambahnya.

Pada Khamis, Azam menghantar surat tuntutan terhadap Lalitha, beberapa jam selepas beliau berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan yang dilakukannya.

Azam turut berkata tiada sebarang kesalahan dalam membenarkan adiknya, Nasir Baki untuk melaksanakan perniagaan menggunakan akaun beliau bagi membeli saham dalam pasaran terbuka.

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) juga turut berkata Azam tidak melakukan sebarang kealahan dan pengerusinya Abu Zahar Ujang turut berkata lembaga itu berpuas hati dengan penjelasan berhubung perkata itu yang diberikan sendiri oleh ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Susulan itu, pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyerang Azam dan Abu Zahar, menggesa kedua-duanya disiasat dan diberikan cuti sementara selain turut menggesa siasatan dilakukan terhadap ketua pesuruhjaya SPRM sebelum ini.

Azam yang menduduki jawatan ketua pesuruhjaya selepas Latheefa Koya meletakkan jawatan pada Mac 2020, memiliki empat dekad pengalaman dalam badan pencegahan rasuah termasuk ketika berada dalam agensi rasuah sebelum SPRM, iaitu Badan Pencegahan Rasuah.

Dilatih dalam bidang kejuruteraan dan undang-undang, Azam adalah merupakan pegawai paling kanan dalam SPRM yang mempunyai pengalaman luas dalam siasatan melawan jenayah pengubahan wang haram, selain siasatan kes berprofil tinggi melibatkan ahli perniagaan dan ahli politik.