- Iklan -
Berita

Azam mulakan tindakan undang-undang, seorang aktivis NGO diberi surat perintah

Lalitha Kunaratnam berkata beliau menerima surat perintah dari Azam Baki hari ini berhubung penerbitan artikelnya di laman sesawang Independent News Service.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Seorang aktivis NGO telah diberikan surat perintah mewakili Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu tindakan undang-undang pertama terhadap mereka yang terlibat dalam dakwaan mengenai pemilikan saham olehnya dalam beberapa syarikat enam tahun lalu.

Lalitha Kunaratnam yang merupakan aktivis NGO C4 berkata beliau menerima surat perintah tersebut hari ini.

“Terima kasih,” katanya dalam sebuah ciapan yang turut meletakkan sebuah imej surat tersebut.

Menerusi tangkap layar, imej surat itu menuntut dua artikel yang ditulis oleh Lalitha pada Disember lalu dihenti terbit.

Dua artikel itu bertajuk “Business ties among MACC leadership: How deep does it go? (Part 1)” dan “Business ties among MACC leadership: How deep does it go? (Part 2).

Azam yang didakwa berhubung isu pemilikan saham-saham syarikat sekitar enam tahun lalu mengatakan kesemua pemilikan sudah dipindahkan ke akaun adiknya.

Azam berkata pendedahan itu dibuat bagi memburukkan reputasinya yang sudah berkhidmat lebih 30 tahun bersama SPRM sambil menambah tindakan undang-undang bakal diambil kepada pihak-pihak yang didakwa berniat jahat itu.

“Mengenai tuduhan saya mengawal banyak syarikat, ini pembohongan oleh pihak-pihak tersebut untuk menjatuhkan reputasi saya,” katanya.

Dalam pada itu, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berkata tiada konflik kepentingan dalam pembelian saham syarikat-syarikat tertentu oleh Azam.

Dapatan tersebut disimpulkan oleh LPPR selepas mendengar keterangan dari Azam sendiri.

Bagaimanapun, dalam sebuah kenyataan hari ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata tindakan Azam yang berkongsi akaun Central Depositories (CDS) melanggar undang-undang.

SC memaklumkan di bawah seksyen 25 Akta Industri Sekuriti (Sicda) 1991, semua sekuriti yang dibuka mesti dibuat di atas nama penerima benefisial sekuriti yang didepositkan, atau pihak penama yang diberi kuasa.

Menurut suruhanjaya itu, Seksyen 29A Sicda menetapkan bahawa semua urusan dalam sekuriti hanya dilaksanakan oleh pemilik benefisial sekuriti atau penama tersebut.

“SC akan berhubung dengan pihak terlibat, termasuk Azam Baki, untuk mendapatkan penjelasan dan mengesahkan kenyataan yang dibuat, serta mengumpul sebarang bukti yang berkaitan.”