Saturday, May 21, 2022

Pulau Pinang hanya benar upacara ‘paal kudam’ bagi sambutan Thaipusam

Menurut timbalan ketua menteri, upacara paal kudam dibenarkan pada perayaan Thaipusam kali ini tanpa melibatkan acara kavadi.

Other News

Hanya upacara paal kudam atau menjunjung belanga yang mengandungi susu dibenarkan pada sambutan Thaipusam di Pulau Pinang pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri (PHEB) P Ramasamy berkata keputusan itu dicapai setelah pihaknya mengadakan mesyuarat dengan Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique, semalam.

“Berdasarkan mesyuarat tersebut, hanya upacara paal kudam dibenarkan pada perayaan Thaipusam kali ini tanpa melibatkan acara kavadi, membayar nazar dengan mencukur rambut di perkarangan kuil, upacara memecah kelapa, gerai jualan dan pengedaran makanan percuma (thaneer panthal).

“Selain itu, upacara membawa pedati akan dilaksanakan namun dihadkan kepada 500 penganut yang sudah lengkap divaksin (termasuk vaksin dos penggalak) dan mereka akan diberi kad yang khusus menunjukkan bahawa mereka sudah mendaftar (di bawah jawatankuasa kuil) selain mengimbas kod QR sebelum memulakan upacara tersebut,” katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.

Katanya, menerusi mesyuarat itu juga, pihaknya berkata hanya lima lokasi perhentian terpilih buat masa ini telah ditentukan berbanding cadangan sebelum ini iaitu 10 lokasi ketika acara membawa pedati, namun bergantung kepada keputusan pihak kementerian dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menimbang cadangan tersebut yang akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam (Kuil Hilltop), R Subramaniam berkata bagi sesiapa yang ingin membayar nazar untuk upacara paal kudam, mereka dinasihatkan untuk melakukan upacara tersebut lebih awal bagi mengelakkan kesesakan pada hari perayaan tersebut selain ingin menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang sebarang penularan pandemik Covid-19.

“Thaipusam akan disambut pada 18 Januari ini, jadi kami minta upacara paal kudam dilakukan lebih awal iaitu bermula 12 Januari.

“Selain itu, pihak kuil juga akan melakukan kerja sanitasi setiap 30 minit atas faktor SOP selain ingin menasihatkan para penganut untuk melakukan ujian kendiri Covid-19 bagi mengelakkan berlaku kluster Thaipusam,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles