- Iklan -
Berita

Ali Biju berdepan cabaran unik dalam PRN Sarawak

Penyandang kerusi Krian dari Bersatu itu mengumumkan menarik diri daripada bertanding merebut kerusi Krian, namun ia bukan suatu perkara mudah.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Gabungan Parti Sarawak mendominasi pencalonan PRN Sarawak ke-12 yang bakal diadakan pada 18 Disember ini.
Gabungan Parti Sarawak mendominasi pencalonan PRN Sarawak ke-12 yang bakal diadakan pada 18 Disember ini.

Ahli Bersatu Ali Biju berdepan beberapa rangkaian cabaran unik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang: sama ada berkempen atau tidak, dengan siapa beliau akan berkempen, dan bagaimana untuk meyakinkan pengundi supaya tidak mengundinya.

Ali, penyandang kerusi Krian, pada mulanya berhasrat untuk mempertahankan kerusinya itu sebagai calon bebas susulan keputusan Bersatu untuk tidak meletakkan calon pada 18 Disember bagi menghormati Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mentadbir kerajaan Sarawak.

Bagaimanapun, ia menimbulkan rasa tidak senang dalam GPS yang menuduh Bersatu melanggar janjinya untuk tidak meletakkan calon pada PRN kali ini.

Ali kemudiannya mengumumkan beliau menarik diri daripada perebutan kerusi tersebut selain berjanji akan menyokong penuh calon GPS di Krian.

Namun setelah menyerahkan pencalonannya pada 6 Disember lalu, langkah menarik diri tidaklah semudah yang disangka.

“Namanya kekal di atas kertas kerana calon tidak dibenarkan menarik diri,” kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh kepada MalaysiaNow, memetik Peraturan 9 Peraturan-Peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

“Tarikh akhir untuk penarikan diri tamat pada 10 pagi pada hari penamaan calon.”

Ali memenangi kerusi Krian atas tiket PKR pada 2011 dan 2016, beliau berhasrat mempertahankannya dengan menentang Friday Belik dari GPS, Danny Kuan (PBK) dan Musa Dinggat dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Namun, beliau menarik semula keputusannya itu berikutan nasihat presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang berkata pada 27 November bahawa parti itu tidak bertanding pada PRN Sarawak kerana menghormati kehendak kepimpinan GPS.

Muhyiddin turut berkata Bersatu memilih untuk tidak menyertainya kerana percaya GPS mempunyai keupayaan untuk menang dan GPS juga turut menyokong kerajaan persekutuan pimpinan Perikatan Nasional semasa beliau menjadi perdana menteri.

Pada sebuah media, Ali juga turut berkata penarikan dirinya adalah satu langkah strategik, dan beliau berharap tindakan beliau itu akan turut dibalas GPS dengan cara yang sama pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kemenangan GPS juga adalah kemenangan saya. Kalau GPS menang, saya menang,” katanya.

Namun tidak semua orang di kawasannya itu dilihat bersetuju.

Bercakap kepada MalaysiaNow, ketua masyarakat atau penghulu Anyum Anak Kinyeh berkata Ali adalah seorang yang bertanggungjawab.

“Apabila anda minta apa-apa daripada Ali – sama ada untuk baiki jalan atau baiki lampu jalan – beliau akan cuba selesaikan.”

Pada pendapat Anyum, Ali harus terus berkempen walaupun tidak lagi berhasrat untuk bertanding – mungkin bersama calon GPS sebagai tanda solidariti.

Ketua masyarakat Batang Kabo Latan Ambau bersetuju.

“Selain kempen bersama, saya rasa wajar Ali menghantar surat rasmi kepada SPR,” katanya.

“Sama ada SPR akan terima surat itu atau tidak bukan isunya. Yang paling penting ialah isyarat, menunjukkan keikhlasannya.”

Beliau juga bersetuju bahawa GPS harus membalas isyarat dari Ali dengan membantunya berkempen pada PRU akan datang.

“Kita harus kekal bersama dan bekerjasama untuk kepentingan terbaik rakyat Sarawak.”

Calon lain dari Bersatu yang akan bertanding di PRN Sarawak ialah Siki Balarik (Belaha), Ricky Enteri (Bawang Assan) dan Ismawi Muhammad (Muara Tuang).

Siki ialah ketua Bersatu Hulu Rajang manakala Ricky ialah aktivis Pemuda Bersatu dari Bawang Assan.

Sementara Ismawi adalah ketua Bersatu Kota Samarahan.