- Iklan -
Berita

SPRM berjaya lucut hak RM540,000, 8 keping emas bekas KSU kementerian

Hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara berkata mereka mendapati wang RM540,000 dan lapan keping emas bernilai RM1.4 juta itu ada kaitan dengan kesalahan di bawah Akta SPRM.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan. Gambar: Bernama
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan. Gambar: Bernama

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya dalam rayuan untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM540,000 dan lapan keping emas milik bekas ketua setiausaha kementerian kemajuan luar bandar dan wilayah Mohd Arif Ab Rahman.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hanipah Farikullah, Abu Bakar Jais dan Nordin Hasan semalam membenarkan rayuan SPRM untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Hakim Nordin, yang menyampaikan keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati wang RM540,000 dan lapan keping emas bernilai RM1.4 juta itu ada kaitan dengan kesalahan di bawah Akta SPRM.

“Tambahan pula, tiada pihak ketiga yang muncul ataupun ke hadapan untuk membuat  sebarang tuntutan terhadap harta-harta tersebut,” katanya.

Mahkamah Tinggi telah membenarkan rayuan Arif untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan permohonan SPRM untuk melucut hak wang tunai dan pelbagai barangan di bawah Seksyen 41 (1) Akta SPRM 2009.

Barangan yang disita SPRM pada 2017 merangkumi wang tunai berjumlah RM544,627; wang tunai dalam mata wang asing, lapan keping emas dengan berat keseluruhan 8,000 gram; 11 utas jam tangan berjenama, seutas rantai leher,  gelang tangan mutiara, seunit telefon bimbit serta sebuah beg tangan berjenama.

SPRM kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan manakala Arif juga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai  beban pembuktian bagi kes-kes perlucutan harta di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009.

Timbalan pendakwa raya Mohd Fairuz Johari, bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa SPRM hanya meneruskan rayuan untuk melucut hak RM540,000 dan lapan keping emas.

Sementara itu, Nordin, dalam keputusan mahkmah, berkata barang-barang lain dipulangkan kepada Arif.

Nordin juga menolak rayuan Arif berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mengenai beban pembuktian bagi kes-kes perlucutan harta di bawah seksyen 41(1) Akta SPRM 2009.

Timbalan pendakwa raya Mohd Fairuz dan Mohd Zain Ibrahim mewakili SPRM manakala peguam Guok Ngek Seong mewakili Mohd Arif.