- Iklan -
Berita

Muhyiddin kotakan janji enggan bantu bebaskan Najib dari pertuduhan, kata Dr M

Bagaimanapun pendirian teguh itu jugalah yang menyebabkan pemimpin Bersatu itu tumbang, dan ia juga akan dialami penggantinya Ismail Sabri Yaakob, kata pemimpin veteran itu.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin bersenda gurau sebelum satu sidang media di Kuala Lumpur pada 4 Mac 2016. Gambar: AFP
Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin bersenda gurau sebelum satu sidang media di Kuala Lumpur pada 4 Mac 2016. Gambar: AFP

Walaupun Dr Mahathir Mohamad tidak menyokong banyak perkara yang dilakukan Muhyiddin Yassin, namun satu perkara yang diakuinya mengenai bekas rakan seperjuangannya dalam parti yang menggantikan beliau sebagai perdana menteri adalah pendirian utuhnya dalam menyekat sebarang percubaan untuk menggugurkan beberapa pertuduhan jenayah terhadap Najib Razak.

“Muhyiddin memberi jaminan kepada saya, beliau tidak akan masuk campur dalam perbicaraan Najib dan kes-kes mahkamah yang lain.

“Sekurang-kurangnya, dalam perkara ini, saya yakin Muhyiddin kotakan janjinya itu — beliau nampaknya menolak untuk gugurkan pertuduhan-pertuduhan terhadap Najib atau mendapatkan pengampunan bagi sabitan jenayahnya,” tulis pemimpin veteran itu dalam “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, sebuah memoir setebal 304 muka surat yang bakal dilancarkan, di mana ia mengandungi rangkuman peristiwa sepanjang 15 tahun persaraannya sebelum kembali mengetuai tampuk pentadbiran negara pada 2018 dan kemudiannya meletakkan jawatan selepas 22 bulan.

Namun Mahathir berkata, kerana prinsip jugalah yang menyebabkan Muhyiddin tumbang pada Ogos lalu, apabila beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas beberapa ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya yang didalangi Najib dan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

“Apabila Muhyiddin menolak untuk menghentikan prosiding mahkamah terhadap Najib, Najib ugut untuk tarik sokongan terhadap gabungan itu, mengakibatkan beberapa peristiwa terjadi menyebabkan Ismail Sabri naik ke tampuk kuasa,” katanya dan menambah beliau sudah mengingatkan Muhyiddin untuk tidak mengambil risiko menerima sokongan Najib bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Semalam, Mahkamah Rayuan menolak percubaan Najib untuk mengenepikan sabitan tujuh pertuduhan ke atasnya termasuk salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Sabitan yang dijatuhkan pada Julai tahun lalu itu turut membawa hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta, sekitar empat bulan selepas Muhyiddin menduduki jawatan perdana menteri selepas membawa Bersatu keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Mahathir dan Muhyiddin adalah pemimpin utama yang membentuk Bersatu pada 2016 bagi mencabar Najib ketika pendedahan berhubung skandal berkait 1MDB memuncak dalam negara.

Parti itu kemudiannya bergabung bersama PH bagi menamatkan enam dekad pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, sekali gus menyaksikan Mahathir menjadi ketua kerajaan paling tua di dunia yang dipilih dalam pilihan raya pada usia 93 tahun.

Namun susulan beberapa kontroversi berhubung peralihan kuasa yang bakal menyaksikan bekas musuhnya Anwar Ibrahim menggantikan beliau bagi jawatan paling kanan dalam negara itu, keretakan mulai jelas dalam kerajaan PH.

Pada awal 2020, gabungan itu akhirnya tumbang sehingga menyebabkan perpecahan dalam PKR dan Bersatu.

Sepanjang 17 bulan mentadbir negara, Muhyiddin beberapa kali mengulangi tidak akan masuk campur dalam kes-kes rasuah berprofil tinggi membabitkan pemimpin-pemimpin Umno walaupun mereka bersama-sama dalam membentuk blok menyokong ahli Parlimen Pagoh itu sebagai perdana menteri pada 2020.

Muhyiddin berkata beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas sekumpulan “kleptokrat” berkomplot menentang beliau bagi melepaskan diri daripada perbicaraan, merujuk kepada Najib, Zahid dan sekumpulan ahli-ahli Parlimen Umno yang berdepan pertuduhan rasuah.

Dalam usaha akhirnya untuk menghalang kumpulan itu kembali berkuasa, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti kepada ahli-ahli Parlimen PH, akan tetapi ditolak gabungan itu menyebabkan beliau terpaksa meletakkan jawatan beberapa hari selepas itu.

MalaysiaNow turut melaporkan secara terperinci bagaimana Zahid bertemu Muhyiddin untuk mendapatkan sokongan bagi menggugurkan beberapa pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Sementara itu Mahathir juga yakin pengganti Muhyiddin, iaitu Ismail juga menerima tekanan yang sama dari Najib.

“Bagi Najib, apa yang penting adalah untuk kembali berkuasa — dan semakin dekat menuju ke arah itu. Dia sudah menunjukkan satu kebangkitan yang mengagumkan selepas tumbang pada pilihan raya umum (PRU) 2018.”

‘Hidup yang luar biasa’

Menyoroti semula krisi politik yang menjadi punca peletakan jawatannya secara mengejut pada Februari 2020, Mahathir berkata ia mungkin satu langkah yang salah.

“Saya minta maaf jika keputusan saya untuk letak jawatan adalah salah namun saya tulis ini secara jujur: Saya tidak boleh teruskan. Saya tertekan, kecil hati dan rasa kecewa.

“Ia bukanlah satu perkara mudah untuk terima parti anda sudah tidak lagi percaya dengan anda. Dan saya juga tidak jangka akan dikhianati oleh pengasas bersama parti saya,” katanya dalam memoir yang boleh didapati di kedai buku minggu depan.

Namun beliau melahirkan rasa syukur kerana dapat menjalani hidup “yang luar biasa” selain turut diberi kesihatan yang baik.

“Saya pernah fikir usia 96 tahun adalah terlalu tua namun di sinilah saya pada usia emas saya, menyiapkan bab akhir buku ini,” katanya dalam halaman-halaman akhir buku terbarunya itu.

“Saya tahu saya sudah menjalani kehidupan yang luar biasa, saya sangat bersyukur kepada Tuhan, saya habiskan usia saya untuk berkhidmat kepada negara.”