- Iklan -
Berita

PH tolak tawaran reformasi Muhyiddin sebagai usaha dapatkan sokongan

Pemimpin PH menolak tawaran yang disifatkan sebagai 'rasuah', mengatakan gabungan itu boleh memberikan rancangan lebih baik untuk rakyat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Pakatan Harapan Lim Guan Eng (kiri) Mohamad Sabu (kanan) turut bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim (tengah) ketika berucap di bangunan Parlimen pada 29 Julai. Gambar: Bernama
Pemimpin Pakatan Harapan Lim Guan Eng (kiri) Mohamad Sabu (kanan) turut bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim (tengah) ketika berucap di bangunan Parlimen pada 29 Julai. Gambar: Bernama

Pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) menolak tawaran persefahaman antara parti yang ditawarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai pertukaran sokongan daripada semua ahli Parlimen dalam usul undi percaya yang akan dibentangkan.

Sebaliknya, mereka berkata PH boleh memberikan tawaran yang lebih baik daripada pembaharuan yang dijanjikan Muhyiddin.

“Kami berkeyakinan bahawa kami mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik Covid-19,” kata kenyataan yang ditandatangani Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu .

Muhyiddin menyenaraikan tujuh perkara dalam cadangannya kepada parti-parti pembangkang bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan yang menurut beliau boleh mencetuskan risiko kekosongan kuasa ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Antara lain, beliau berjanji untuk menyalurkan peruntukan dana yang sama rata kepada semua ahli Parlimen, menggubal undang-undang anti lompat parti, menghadkan penggal jawatan perdana menteri, dan memastikan perwakilan ahli Parlimen yang seimbang sama ada daripada kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen.

Muhyiddin juga turut berjanji untuk melaksanakan Undi 18 bagi membolehkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas mengundi pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin tinggi PH tersebut menyifatkan tawaran tersebut sebagai “rasuah”, menuduhnya membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong selain turut mengulangi tuntutan mereka supaya beliau meletakkan jawatan.

“Lebih dari itu, apabila Tan Sri Muhyiddin berkata ‘tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat,’ beliau dengan jelas telah membelakangi fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” tambah mereka.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.