Friday, January 14, 2022

Sektor pelancongan bimbang PKP dilaksana semula akibat kemunculan Omicron

Walaupun tiada pengumuman langkah sedemikian akan diambil, mereka berkata sebarang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi seperti sebelum ini.

Other News

Walaupun masih banyak yang tidak diketahui tentang varian dibimbangi (VOC) Omicron yang masih baru penularannya, pakar berkata sebarang langkah untuk memperkenalkan semula sekatan pergerakan yang dikenakan awal tahun lepas dan sekali lagi tahun bagi mengekang penyebaran virus itu akan memberi kesan yang besar kepada industri pelancongan yang masih bergelut untuk pulih akibat langkah kesihatan sebelum ini.

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ibarat mimpi ngeri bagi sektor pelancongan apabila penutupan sempadan antarabangsa dan larangan merentas negeri menyebabkan industri yang menjadi antara penyumbang tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu lumpuh dan kebanyakan perniagaan terpaksa “gulung tikar”.

Antara yang terjejas teruk termasuklah sektor penerbangan dan perhotelan, malah ribuan pekerja terpaksa diberhentikan atau ditawarkan cuti tanpa gaji sebagai langkah mengurangkan kerugian yang dialami syarikat.

Apabila kerajaan akhirnya mengumumkan kebenaran untuk merentas negeri pada Oktober selepas melaksanakan sekatan pergerakan penuh dalam satu tempoh yang panjang, ramai terutamanya dalam kalangan pemain industri menarik nafas lega apabila dibenarkan kembali meneruskan operasi.

Pemerhatian MalaysiaNow mendapati, keputusan itu sememangnya menghidupkan kembali industri pelancongan walaupun ia hanya dibuka untuk pelancong domestik, malah pemain industri juga sangat optimis untuk menunggu keputusan kerajaan membuka sempadan negara bagi menerima kemasukan pelancong asing.

Namun begitu, hasrat ini mungkin terpaksa ditangguhkan apabila kebimbangan kembali tercetus di peringkat global susulan kemunculan varian terbaru Covid-19 dikenali sebagai varian Omicron yang mula dikesan di Afrika Selatan.

Akibat penularan varian ini, negara seperti Jepun dan Australia menutup sempadan mereka manakala beberapa negara lain termasuk Malaysia melarang kemasukan penerbangan dari negara yang dikesan mempunyai kes Omicron

Meskipun langkah berjaga-jaga yang diambil oleh kerajaan, varian Omicron dikesan di Malaysia baru-baru ini sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata susulan perkembangan ini, ada kemungkinan negara akan kembali melaksanakan PKP seperti sebelum ini.

Namun begitu, beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan memandangkan maklumat mengenai kesan varian terbaru itu masih tidak diketahui sepenuhnya berbanding varian lain.

“Ada kemungkinan akan laksana PKP, dan pastinya ini akan jejaskan pertumbuhan ekonomi negara seperti yang kita lihat sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia Yap Lip Seng, berkata kemunculan varian baru itu mencetuskan situasi panik dalam industri pelancongan apabila kerajaan dijangka akan melaksanakan sekatan pergerakan sebagai langkah mencegah penularan varian itu.

Beliau turut berpendapat bahawa pelaksanaan sekatan pergerakan bukanlah penyelesaian terbaik memandangkan ia sudah terbukti tidak berkesan sebelum ini apabila kes jangkitan terus meningkat.

“Pakar kesihatan bagaimanapun masih belum ketahui kesan dan implikasi varian baru ini, malah mereka mencadangkan supaya melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sama seperti pemakaian pelitup muka, sanitasi dan sebagainya.

“Pelaksanaan ‘lockdown’ secara menyeluruh sudah terbukti tidak berkesan dan hanya menjejaskan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Pemain industri lebih bersedia

Mengulas mengenai kemungkinan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Afzanizam berkata, kerajaan dan pemain industri mungkin akan lebih bersedia memandangkan Malaysia sudah melalui fasa ini beberapa kali sejak tahun lepas.

“Kita pun sudah hidup dalam norma baru seperti bekerja dari rumah, menjaga penjarakan sosial dan mengikut SOP yang ditetapkan ketika berada di tempat awam.

“Berdasarkan situasi yang dihadapi sebelum ini, pastinya kita akan lebih berpengalaman untuk berhadapan dengan ancaman terbaru ini, malah KKM juga dilihat melakukan pemantauan yang lebih ketat dan berjaya kesan kemasukan Omicron dnegan cepat.

“Jika Omicron terbukti tidak begitu bahaya, ini tidak bermakna orang ramai boleh pandang remeh terhadap SOP kerana ancaman Covid-19 masih ada,” katanya.

Menurut Yap, kebimbangan utama bagi industri pelancongan ialah menunggu butiran penuh mengenai varian Omicron dan kesannya terhadap pergerakan antarabangsa yang dijangka akan menjejaskan rancangan membuka sempadan negara.

“Seperti yang kita semua maklum, industri pelancongan tidak boleh hanya bergantung kepada pelancong domestik, kami agak terdesak untuk menerima semula pelancong asing.

“Selepas berdepan dengan pelbagai varian sebelum ini, kemunculan varian Omicron juga tiada bezanya, orang ramai harus sentiasa patuhi SOP yang diwujudkan bagi meminimumkan risiko jangkitan,” katanya.

Tambah Yap, SOP dan langkah pencegahan yang sama diguna pakai industri pelancongan sepatutnya cukup memadai untuk mengekang penularan virus tersebut terutama jika ia dilaksanakan secara ketat.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles