Friday, January 21, 2022

Mahathir dedah tentang ‘penjawat awam jutawan’, manifesto tebal dalam memoir terbaru

Mahathir berkata cabaran utama yang dihadapinya ketika kembali menjadi perdana menteri ialah keadaan kewangan dan kemerosotan dalam sektor perkhidmatan awam.

Other News

Penjawat awam kanan di bawah pentadbiran Najib Razak memperoleh pendapatan jauh lebih tinggi daripada peruntukan gaji disediakan kerajaan, dengan sekurang-kurangnya seorang daripada mereka dibayar sebanyak RM200,000 sebulan, dedah Dr Mahathir Mohamad dalam memoir terbaru mengandungi kisah pelantikan kali keduanya sebagai perdana menteri yang bakal terbit.

Mahathir, yang berkhidmat kira-kira 22 bulan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebuah gabungan yang dipimpinnya bagi menjatuhkan Najib yang terpalit skandal 1MDB, mengatakan masalah terbesar yang perlu ditanganinya selepas kembali mengetuai pentadbiran Putrajaya ialah keadaan kewangan dan kemerosotan dalam sektor perkhidmatan awam.

Beliau berkata penjawat awam kanan termasuk ketua setiausaha kerajaan mengabaikan beban pinjaman mega yang ditanggung pentadbiran Najib, namun kemudiannya diketahui bahawa mereka sendiri mengambil gaji dengan jumlah yang besar.

“Kerajaan berhutang lebih RM1 trilion — iaitu angka yang mempunyai 12 nombor kosong. Jadi anda boleh faham sendiri, angka sifar itu lebih banyak daripada apa yang ada pada kalkulator saya.

“Ketua setiausaha kerajaan, yang merupakan ketua perkhidmatan awam, menyedari perkara ini namun tidak mengemukakan apa-apa bantahan, dan apabila disiasat ternyata dia memperoleh pendapatan lebih daripada yang sepatutnya,” tulis Mahathir dalam “Capturing Hope: Struggle Continues for New Malaysia”.

Memoir kedua Dr Mahathir Mohamad, ‘Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia’.

Ketua setiausaha ketika pentadbiran Najib ialah Ali Hamsa, yang dilantik pada 2012, dan meneruskan perkhidmatan kira-kira tiga bulan selepas kejatuhan Najib pada 2018.

Buku setebal 304 muka surat itu adalah memoir kedua Mahathir selepas “A Doctor in the House”, biografinya yang merakam beberapa peristiwa penting di bawah pentadbiran diketuainya selama 22 tahun sebelum ini.

Buku tersebut, yang dilihat sebagai percubaan untuk “mendedahkan semuanya” dan menjelaskan isu-isu seputar penggal pendek keduanya di Putrajaya, bakal memenuhi rak kedai buku utama di Malaysia dan Singapura dengan harga RM100 sebuah.

Mahathir berkata selain ketua setiausaha, bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah turut memperoleh pendapatan besar melalui lantikannya sebagai pengerusi beberapa syarikat kerajaan.

“Secara keseluruhan, dia dibayar sehingga RM200,000 sebulan — iaitu RM2.4 juta setahun, jauh melebihi gaji biasa yang diperuntukkan kerajaan,” katanya.

“Semua orang ini perlu disingkirkan, namun siapa yang akan menggantikan mereka? Saya memerlukan orang yang jujur, dan saya perlu mencari bukti bahawa mereka jujur ​​dan memiliki keupayaan yang diperlukan.”

Mahathir, 96, membantu menubuhkan Bersatu pada 2016 bagi mencabar Umno diketuai Najib semasa kemuncak pendedahan mengenai skandal 1MDB.

Beliau kemudiannya bekerjasama dengan PH bagi menamatkan enam dekad pentadbiran Barisan Nasional, sekali gus dilantik menjadi ketua kerajaan paling tua di dunia pada usia 93 tahun.

Bagaimanapun, berikutan kontroversi mengenai perjanjian peralihan kuasa yang bakal menyaksikan bekas musuhnya Anwar Ibrahim menggantikan beliau sebagai perdana menteri, perpaduan dalam gabungan PH menjadi retak sehinggalah Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut pada Februari 2020.

Manifesto ‘tidak realistik’

Dalam buku itu juga, Mahathir turut mendedahkan “mentaliti pembangkang” anggota Kabinet yang diketuainya, menjelaskan keraguan beliau berhubung manifesto pilihan raya PH, termasuk janji untuk memansuhkan tol, di mana ia adalah perkara yang ditentang secara terbuka oleh ahli politik veteran tersebut.

Walaupun beliau memberi kata pengantar kepada dokumen manifesto pembangkang itu, Mahathir berkata ia disediakan oleh mereka yang “tidak mempunyai pengalaman dalam kerajaan” dan “terlampau sedikit kefahaman tentang kekangan praktikal pentabdiran yang akan dihadapi oleh seorang pentadbir apabila dipilih menjadi kerajaan”.

“Akhirnya, saya terpaksa bersetuju kerana kita amat memerlukan platform bersama dalam menghadapi pilihan raya umum, namun saya menentang beberapa perkara dalam manifesto itu dan berhujah hampir mustahil untuk menunaikan beberapa janji yang terkandung di dalamnya. ”

Beliau berkata manifesto pilihan raya PH juga terlalu tebal dan tidak realistik.

“Saya fikir manifesto pilihan raya harus ringkas. Ia harus meletakkan perkara-perkara tertentu sahaja. Dan ia tidak sepatutnya menjadi sebuah dokumen yang tebal, apatah lagi dengan tarikh akhir yang tidak realistik bagi pelaksanaannya”

Dalam buku itu juga, Mahathir menjelaskan pendiriannya mengenai beberapa janji pilihan raya lain oleh PH yang tidak ditunaikan, seperti pemulihan hak bagi Sabah dan Sarawak, dan pemansuhan undang-undang zalim.

“Kami membuat banyak janji dalam manifesto, namun sekarang, setelah menjadi kerajaan, kami langsung tidak ada majoriti di Parlimen bagi melaksanakannya – atau memang wujud perkara lain yang memerlukan pindaan perlembagaan,” katanya, sambil menambah usaha untuk mendekati pembangkang ketika itu juga gagal dilakukan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles