Thursday, December 2, 2021

Biar rakyat hakimi sikap pihak tidak mahu kerjasama dengan Bersatu, kata Azmin

Menurut Azmin, Perikatan Nasional menganjurkan perpaduan dan kerjasama demi rakyat dan kepentingan negeri Melaka.

Other News

Biarkan rakyat membuat keputusan bagi mengadili sikap serta kenyataan pihak yang tidak mahu bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata bagi pihak PN, gabungan itu hanya menganjurkan perpaduan dan kerjasama demi rakyat dan kepentingan negeri Melaka.

“Itu pilihan mereka (enggan berunding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Biarlah rakyat membuat penghakiman tentang sikap dan kenyataan pihak-pihak yang tidak mahu bekerjasama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Malam Mesra Deepavali 2021 Parlimen Gombak, malam ini.

Azmin berkata sedemikian berhubung beberapa bahagian Umno di Melaka hari ini yang menolak sebarang kerjasama diadakan antara parti dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka pada 20 November ini.

Ketua Bahagian Umno Tangga Batu Mohamad Ali Mohamad yang mewakili kumpulan berkenaan berkata keputusan itu dibuat bagi menghormati kehendak akar umbi selain terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan kerjasama itu tidak dapat diadakan.

Selain itu, Azmin yang juga ketua penerangan PN dan ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata PN sentiasa mengambil sikap terbuka dan bertanggungjawab untuk mengadakan rundingan kerjasama, khususnya dengan parti yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Namun, seperti yang saya tegaskan juga… sebagai sebuah parti politik kita harus membuat persiapan di peringkat akar umbi khususnya pembahagian kerusi, penentuan calon dan jentera pilihan raya.

“Perkara ini perlu diperkemaskan seberapa segera yang boleh supaya jentera kita dapat bertindak dengan lebih efektif dan berkesan serta jangan sampai tindakan kita itu menyebabkan rakyat keliru tentang hala tuju, masa depan negara dan negeri,” katanya.

Beliau berkata kerjasama yang dibentuk pada tahun lepas menerusi gabungan PN telah menghasilkan banyak kejayaan ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi, selain berpandangan kerjasama itu wajar dipertahankan serta diterjemah menerusi tindakan dalam PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Empat Adun berkenaan ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles