- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi selar Singapura laksana hukuman mati terhadap warga Malaysia cacat mental

Lawyers for Libery berkata negara bertamadun tidak seharusnya mengambil keputusan untuk jalankan hukuman gantung sampai mati terhadap golongan cacat mental.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Singapura dianggap mengabaikan Konvensyen PBB yang menggesa supaya golongan cacat mental tidak dikenakan hukuman mati. Gambar: AFP
Singapura dianggap mengabaikan Konvensyen PBB yang menggesa supaya golongan cacat mental tidak dikenakan hukuman mati. Gambar: AFP

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menyelar kerajaan Singapura berhubung hukuman mati terhadap seorang banduan Malaysia yang memiliki IQ sebanyak 69, mengatakan negara bertamadun tidak seharusnya mengambil keputusan untuk menjalankan hukuman tersebut terhadap golongan cacat mental.

Penasihat LFL N Surendran berkata Nagaenthran a/l K Dharmalingam disabitkan kesalahan pada 2011 kerana mengimport 42.72g diamorphine secara haram dan dijatuhi hukuman mati di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura.

Beliau berkata ibu Nagaentran dimaklumkan dalam surat daripada Perkhidmatan Penjara Singapura bertarikh 26 Oktober bahawa anaknya akan dihukum gantung sampai mati pada 10 November depan.

“Nagaenthran bukan banduan hukuman mati yang biasa; dia mengalami kecacatan mental, dengan IQ sebanyak 69. Keadaannya sebangai OKU didiagnosis dan disahkan pakar psikiatri bertauliah yang berpangkalan di Singapura,” katanya dalam sebuah kenyataan.

“Bagaimanapun, selama ini Singapura tidak mengendahkan semua rayuan supaya Nagaentran dikecualikan daripada hukuman mati.

“Keputusan Singapura yang bertekad untuk meneruskan pelaksanaan hukuman ini adalah satu hal yang mengejutkan dan memualkan.”

Mengingatkan Singapura sebagai sebahagian negara dalam Konvensyen PBB mengenai Hak Orang Kurang Upaya, beliau berkata republik itu telah “melanggar secara nyata” larangan di bawah undang-undang antarabangsa untuk melaksanakan hukuman mati terhadap orang yang mempunyai sebarang bentuk kecacatan mental selain turut mengabaikan gesaan Perhimpunan Agung PBB yang menyeru negara anggotanya tidak melaksanakan hukuman mati bagi “orang yang cacat mental atau tiada keupayaan intelektual”.

Menyeru supaya hukuman mati terhadap Nagaenthran dihentikan, Surendran berkata ia merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa malah melayakkan Malaysia membuat aduan kepada Mahkamah Antarabangsa.

“Kami berharap akal budi akan muncul, dan Singapura dapat menghentikan pelaksanaan hukuman mati terhadap golongan cacat mental.

“Meneruskan hukuman gantung ini hanya akan merosakkan reputasi negara tersebut, dan ia tidak memberikan apa-apa kesan bagi menghalang dalang sebenar pengedaran dadah,” katanya.