- Iklan -
Berita

Mahkamah benarkan Najib ke Singapura sehari selepas PRN Melaka

Najib Razak akan ke Singapura pada 21 November, sehari selepas PRN Melaka dan kembali ke tanah air pada 5 Disember.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Mahkamah Tunggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasportnya, yang membolehkannya ke Singapura selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November.

Najib pada mulanya memohon pasportnya dikembalikan dari 20 Oktober hingga 22 November untuk menemani anak perempuannya, Nooryana Najwa yang akan melahirkan anak keduanya.

Bagaimanapun, beliau kemudian memohon tarikh pelepasan pasportnya dipinda kepada 25 Oktober dan 6 Disember, mengatakan perlu membantu jentera pilihan raya Umno untuk PRN Melaka.

Menurut The Malaysian Insight, beliau kini akan berlepas ke Singapura sehari selepas PRN dan kembali pada 5 Disember depan.

Laporan itu juga berkata kelulusan permohonannya diberikan oleh tiga hakim Mahkamah Tinggi secara berasingan.

Najib disabitkan kesalahan Julai tahun lalu bagi tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Kes tersebut kini dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Beliau juga turut dibicarakan bagi pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaaan dilakukan terhadap laporan audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak tindakan diambil ke atas beliau.