- Iklan -
Berita

Pakar secara umum sambut baik pelaksanaan cukai keuntungan modal

Mereka setuju pelaksanaannya mungkin beri impak negatif kepada pasaran, namun menyifatkannya sebagai isu jangka pendek.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berjalan kaki di sekitar Bukit Bintang di Kuala Lumpur selepas Lembah Klang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara. Kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan cukai keuntungan modal (CGT) terhadap perniagaan yang mengumpul keuntungan luar biasa sepanjang pandemik Covid-19.
Orang ramai berjalan kaki di sekitar Bukit Bintang di Kuala Lumpur selepas Lembah Klang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara. Kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan cukai keuntungan modal (CGT) terhadap perniagaan yang mengumpul keuntungan luar biasa sepanjang pandemik Covid-19.

Sebarang impak kepada pasaran berhubung pelaksanaan cukai keuntungan modal (CGT) disifatkan sebagai isu jangka pendek, kata beberapa pakar ketika menyambut baik cadangan oleh Putrajaya tersebut baru-baru ini.

Mereka berkata kebanyakan negara maju telah melaksanakannya dan sudah sampai masanya Malaysia juga melaksanakan sistem cukai progresif yang lebih efisien.

“Jika melihat kebanyakan negara maju, sistem percukaian mereka lebih progresif yang mana golongan pendapatan tinggi akan membayar cukai lebih,” kata penganalisis ekonomi Zulkiply Omar kepada MalaysiaNow.

Menurutnya, di Malaysia pelaksanaan cukai terhadap golongan berpendapatan tinggi tidak membayar cukai dengan jumlah sewajarnya.

“Justeru, dari segi pengagihan sumber ia tidak begitu seimbang dan ini akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Bulan lalu, Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa memberitahu Dewan Rakyat kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan kadar cukai lebih tinggi terhadap beberapa syarikat yang mengumpul keuntungan luar biasa sepanjang pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan daripada beberapa pihak termasuk bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng yang menyatakan ia boleh menyebabkan pasaran Malaysia menjadi kurang kompetitif.

Zulkiply bagaimanapun berkata CGT mungkin akan memberi kesan terhadap pelabur asing dan pasaran saham, namun perkara itu tidak perlu dibimbangkan kerana ia hanyalah isu jangka pendek.

“Jika pelabur asing ingin melabur ke pasaran negara maju, mereka juga akan dikenakan CGT. Jadi ini tidak perlu risau.

Menurutnya, pandangan yang mengatakan pelabur asing takut dan akan lari disebabkan CGT hanyalah spekulasi.

Dalam pada itu, pakar percukaian ternama, Veerinderjeet Singh berkata adalah lebih baik jika Malaysia melaksanakan CGT terhadap aset lain seperti hartanah berbanding saham yang disenarai di bursa tempatan buat masa ini.

“Apabila sebut tentang keuntungan modal, ia sering kali melibatkan transaksi saham atau hartanah. Kita sudah ada cukai terhadap transaksi hartanah iaitu cukai keuntungan harta tanah (RPGT).

“Mungkin ia boleh digabungkan dengan cukai pendapatan dan letakkan ia sebagai satu perundangan. Kemudian cukai keuntungan modal syarikat yang dijana menerusi transaksi hartanah diturunkan daripada 24% kepada 10%,” katanya.

Tambah beliau, apabila negara mencatat pertumbuhan yang lebih memberasangkan dengan menjana pendapatan lebih tinggi, mungkin tiba masanya untuk meluaskan lagi pelaksanaan CGT dengan meliputi transaksi saham.