Wednesday, October 27, 2021

Kebolehan bukan bergantung umur, kata Mahathir berhubung warga emas memandu kereta

Pada usia 96 tahun, bekas perdana menteri itu berkata ramai warga emas masih mampu memandu dengan selamat di lebuh raya utama dalam negara.  

Other News

Ketika perbahasan rancak berhubung sama ada warga emas mampu memandu kenderaan, seorang warga emas yang mungkin paling terkenal di Malaysia berkata umur bukan pertimbangan ketika berbicara mengenai keselamatan jalan raya.

Kini berusia 96 tahun, Dr Mahathir Mohamad masih mampu memandu kereta di lebuh raya tanpa memerlukan bantuan, bahkan beliau tiada masalah melakukannya.

Ketika diwawancara MalaysiaNow, negarawan veteran yang menjadi tajuk utama berita antarabangsa selepas menjadi perdana menteri paling tua di dunia ketika memegang jawatan tersebut buat kali kedua pada 2018 berkata ramai warga emas masih lagi cerdas, boleh berfikir secara rasional dan mampu untuk memandu kereta.

“Saya masih boleh bawa kereta, saya pandu dari Alor Setar ke Kuala Lumpur tak ada masalah, saya boleh pandu jauh pun,” katanya, sambil menyusuri trafik di ibu negara ketika memandu bersama MalaysiaNow dalam kereta yang sinonim dengannya, Proton.

Walaupun sudah lama tidak memandu dalam jarak yang jauh, beliau berkata masih selesa untuk memandu di lebuh raya yang sememangnya memiliki trafik yang sibuk dan laju.

“Di Malaysia ini, kebanyakan jalan raya mempunyai tiga lane, tiga lorong,” katanya.

“Jadi, lorong yang tengah itu untuk yang laju, di tepi sekali untuk lane slow (lorong kenderaan perlahan).

“Kalau orang tua dia tak boleh laju, dia boleh ambil lorong perlahan, jadi orang lain boleh potong dia di lorong tengah, lorong kedua dan ketiga.”

Mahathir, adalah perdana menteri yang mengasaskan syarikat nasional Malaysia, Proton yang ditubuhkan pada 1980-an, beliau terkenal kerana gemar memandu kereta dan sering dirakam melakukannya, termasuk membawa beberapa individu berprofil tinggi seperti ketua-ketua dari negara luar.

Pada 2019, beliau memandu kereta membawa Presiden Indonesia Joko Widodo untuk makan tengah hari di Seri Perdana, rumah kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.

Empat tahun sebelum itu, beliau turut membawa Widodo ketika pandu uji kereta Proton di litar Sepang.

Dalam pada itu, pada 2018, beliau turut dirakam memandu kereta berjenama Porsche dalam hujan lebat ketika musuh-musuh politiknya mempertikai usia emasnya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Mahathir berkata isu memandu secara merbahaya tidak bergantung umur bahkan ia adalah pilihan individu.

“Pemandu tua atau muda bukan persoalannya,” katanya sambil menambah kemalangan mungkin boleh terjadi kerana keadaan infrastruktur jalan raya yang buruk.

Perbahasan mengenai perkara ini timbul akhir bulan lalu selepas polis mencadangkan kerajaan mengeluarkan lesen memandu kepada warga emas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias berkata keadaan kesihatan warga emas mungkin boleh menjadi faktor kemalangan jalan raya.

Beliau berkata kumpulan warga emas seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan surat daripada doktor terlebih dahulu untuk mengesahkan bahawa mereka sihat untuk memandu.

“Apabila mencapai usia warga emas, banyak penyakit yang datang, antaranya penyakit Alzheimer dan penglihatan tidak terang. Faktor ini secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya,” katanya.

Bagaimanapun, Mahathir mengakui ramai warga emas memiliki tahap kesihatan yang rendah berbanding pemandu-pemandu muda.

Namun, beliau berkata ia tidak boleh ditanggapi secara umum, mengatakan ramai juga pemandu berusia muda turut memiliki ketidakupayaan yang sama.

“Lain orang lain kebolehannya,” katanya.

“Bagi orang muda pun kalau dia tak nampak, dia pun tak bolehlah memandu.

“Penglihatan saya masih baik dan saya boleh nampak, tak ada masalah. Saya boleh bawa masa malam.”

Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030 di mana 15% populasinya dijangka berusia 60 tahun ke atas.

Mahathir berkata ia adalah disebabkan warga emas ketika ini semakin sihat berikutan kemajuan perubatan dalam negara.

Beliau berkata ramai juga dalam kalangan mereka masih mampu untuk bekerja di mana umur persaraan boleh dipanjangkan hingga usia 60 tahun.

“Kecerdasan, kemampuan berfikir, dan kekuatan kita sudah berkembang kepada beberapa tahun di mana dulunya, orang berusia 55 tahun sudah tidak mampu bekerja,” katanya.

Mahathir juga sering menekankan kepentingan untuk kekal aktif secara mental, menjelaskan kesihatan baik yang dinikmatinya adalah disebabkan diet terkawal selain sering bersenam.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles