Friday, October 22, 2021

Polis syor hadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas

Antara faktor menyumbang kemalangan adalah kerana warga emas memandu kenderaan dalam keadaan mereka tidak sihat sepenuhnya.

Other News

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyorkan kepada kerajaan agar mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Azisman Alias berkata antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan adalah kerana warga emas memandu kenderaan dalam keadaan mereka tidak sihat sepenuhnya.

Beliau berkata kumpulan warga emas seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan surat daripada doktor terlebih dahulu untuk mengesahkan bahawa mereka sihat untuk memandu.

“Apabila mencapai usia warga emas, banyak penyakit yang datang, antaranya penyakit Alzheimer dan penglihatan tidak terang. Faktor ini secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya.

“Terdapat kes sebelum ini seorang warga emas memandu kenderaan dengan memasuki lorong motosikal. Maka kerajaan perlu meneliti dan mengkaji berhubung pengeluaran LKM kepada golongan warga emas,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Beliau memberi contoh sekiranya seseorang warga emas berusia 70 tahun memperbaharui LKM bagi tempoh lima tahun, ia tidak sesuai sama sekali kerana faktor usia.

Sementara itu Azisman turut mencadangkan kepada kerajaan untuk mengeluarkan satu polisi bagi motosikal yang berkuasa rendah agar tidak mengeluarkan bunyi bising.

“Polisi berkenaan diperlukan kerana rata-rata motosikal berkuasa rendah ini banyak diubah suai ekzosnya yang mengeluarkan bunyi bingit dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas mengenai statistik kemalangan jalan raya, Azisman berkata motosikal masih menjadi faktor penyumbang utama kemalangan yang masih meningkat.

“Kemalangan motosikal masih tinggi iaitu 70% melibatkan 2,075 kematian bagi tempoh awal tahun ini hingga Ogos lepas,” katanya.

Selain itu menurutnya kemalangan kedua tertinggi melibatkan kereta iaitu 450 kematian, diikuti pejalan kaki (168), lori (87), basikal (54), kenderaan pacuan empat roda (53) dan bas (1) bagi tempoh yang sama.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles