Wednesday, October 20, 2021

Banduan cipta lagu penghormatan buat negara dari bilik akhir di Singapura

Ini adalah lagu kedua yang ditulis oleh Pannir Selvam Pranthaman, yang kini menunggu hukuman mati akibat kesalahan mengedar dadah.

Other News

Seorang banduan Malaysia yang menunggu hukuman mati di Singapura mencipta sebuah lagu sebagai penghormatan kepada mereka yang berjuang dan berkorban untuk negara, karya keduanya sejak dimasukkan ke penjara tujuh tahun lalu.

Ini merupakan lagu kedua ciptaan Pannir Selvam Pranthaman, seorang banduan warga Malaysia yang dijatuhkan hukuman mati pada 2017 kerana membawa dadah ke republik itu.

Lagu pertamanya, “Arah Tuju” yang dinyanyikan Santesh Kumar, diterbitkan pada April lepas.

Karya terbarunya, “Bukan Sekadar Hikayat”, akan dinyanyikan oleh seorang penyanyi rap India tempatan, Samson Thomas, atau lebih dikenali sebagai Saint TFC.

Bercakap kepada MalaysiaNow, adik kepada Pannir, Angelia Pranthaman berkata ia adalah caran abangnya untuk menunjukkan penghargaan kepada negara walaupun berada di penjara dan menunggu hukuman mati.

“Sudah pasti kita akan dapat ‘arah tuju’ ke mana perjalanannya akan pergi,” katanya menjelaskan kesinambungan dari lagu pertama itu.

Presiden Sebaran Kasih, Angelia Pranthaman menerangkan pelancaran lagu Bukan Sekadar Hikayat yang ditulis oleh Pannir Selvam yang dipenjarakan di Penjara Cangi, Singapura sejak 2014, lagu tersebut akan dilancarkan pada 13 September 2021 di Facebook Sebaran Kasih.

Angelia, yang merupakan presiden NGO Sebaran Kasih berkata Pannir menulis lirik “Bukan Sekadar Hikayat” pada 2019.

Katanya, mereka berhubung dengan Pannir melalui telefon dan e-mel, dan dia meminta supaya Thomas menyumbang vokal untuk lagu itu, mengatakan penyanyi itu memiliki “suara yang tepat” untuk memperjuangkan isu tersebut.

Pannir dipenjarakan di Penjara Changi, Singapura kerana menyeludup 51.84g diamorphine dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi negara itu.

Pada 16 Mei 2019, penjara itu mengeluarkan notis pelaksanaan hukuman pada 24 Mei lalu.

Pannir memohon untuk menangguhkan pelaksanaan hukumannya dan Mahkamah Rayuan republik itu membenarkan penangguhannya beberapa jam sebelum dijadualkan menjalani hukumannya bagi membolehkannya mencabar keenganan presiden Singapura untuk memberikan pengampunan.

Lagu pertama Pannir menceritakan penderitaan banduan akhir dan merayu pengampunan dan belas kasihan.

Angelia berkata “Arah Tuju” berjaya meningkatkan kesedaran yang lebih tinggi mengenai masalah itu.

“Kami terima mesej dari ramai orang yang meminta kami teruskan usaha yang baik ini, kami yakin ia akan bangkitkan kesedaran dan acara seperti ini akan akhirnya menyebabkan hukuman mati dihapuskan di Malaysia,” katanya dan menambah “Arah Tuju” akan menjadi penanda aras kepada “Bukan Sekadar Hikayat” di Malaysia.

“Arah Tuju” setakat ini memperoleh lebih dari 27,000 tontonan di YouTube.


Angelia Pranthaman (kiri) dan Pastor Prince Jon (kanan)berkata sesuatu kepada Saint T.F.C ketika melakukan susunan muzik Bukan Sekadar Hikayat.Thomas, yang mengubah muzik untuk “Bukan Sekadar Hikayat” berkata ia adalah suatu penghormatan kepada dirinya bagi menjayakan projek ini.

“Saya sentiasa cintakan negara ini,” katanya.

“Untuk lihat seseorang letakkan pemikiran dan perasaan saya di atas sehelai kertas buatkan saya rasa tergolong dalamnya. Ia membuatkan saya rasa seperti saya adalah sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar daripada diri saya sendiri.”

Beliau dan tiga komposer lain mengambil masa tiga minggu untuk menyempurnakan melodi dan muzik untuk “Bukan Sekadar Hikayat”.

Katanya, walaupun lagu itu bernada gelap namun ia menjelaskan emosi Pannir.

Dia menambah lirik yang disesuaikan dalam korus pada rangkap kedua lagu, adalah “indah” dan “datang dari tempat yang betul-betul ia berlaku”.

“Lagu ini bukan hanya mengenai kisah yang ada di Malaysia,” katanya.

“(Karya) ini mewakili bagaimana seseorang layak mendapat peluang kedua. Ia juga menggambarkan bagaimana betulkan kesalahan yang pernah dilakukan sangat penting. Apabila anak anda jatuh, anda tidak hukum anak itu, anda suruh dia berjalan dengan betul.”

Karya ini akan menjadi lagu dalam Bahasa Melayu kedua bagi Thomas, yang kini sudah menerbitkan 43 lagu.

Lagu pertamanya dalam bahasa kebangsaan, “Aku Tak Akan Lupa”, dilancarkan tahun lalu.

“Bukan Sekadar Hikayat” akan dilancarkan dalam acara maya pukul 8 malam pada 13 September, dengan kerjasama NGO Lawyers for Liberty dan kumpulan hak asasi Amnesty International.

Lagu itu juga akan turut dimuat naik di laman Facebook Sebaran Kasih pada tarikh pelancaran.

Saint T.F.C menjelaskan proses pembuatan lagu yang ditulis banduan akhir Pannir Selvam, lagu tersebut akan dilancarkan pada 13 September 2021 ini di Facebook Sebaran Kasih.

Naib presiden Sebaran Kasih, Prince Jon menggesa rakyat Malaysia untuk mendengar lagu tersebut ketika ia dilancarkan nanti.

“Kami melakukan ini bukan untuk jadi terkenal atau membuat keuntungan. Kami tidak dapat apa-apa. Apa yang kami mahu adalah berkongsi tentang kasih sayang dan pengampunan,” katanya dan menambah organisasinya sedang mengusahakan lagu ketiga, “Di Sebalik Pintu Besi”.

Sementara itu, Angelia menceritakan beliau sentiasa mengenang abangnya yang akan bakal menjalani hukuman mati di Singapura.

“Pannir mencintai Malaysia,” katanya.

“Dia mahu kembali. Dia masih terkilan kerana akan hadapi kematian di Singapura. Dia mahu mati di sini.

“Dia beritahu saya bagaimana dia sentiasa teringat kenangan mengibarkan bendera dan menyaksikan perarakan Merdeka.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles