- Iklan -
Berita

31 bayi disahkan positif Covid-19 di Sabah

Hampir 300 semalam melibatkan kanak-kanak berusia antara setahun dan lima tahun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kes kanak-kanak dijangkiti Covid-19 meningkat di Sabah. Gambar: Bernama
Kes kanak-kanak dijangkiti Covid-19 meningkat di Sabah. Gambar: Bernama

Seramai 31 bayi berusia di bawah satu tahun antara disahkan positif Covid-19 daripada keseluruhan 3,487 kes dilaporkan di Sabah semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Masidi Manjun.

Jurucakap khas Covid-19 Sabah itu berkata 297 yang dilaporkan di Sabah semalam adalah kanak-kanak berusia antara satu tahun hingga lima tahun, dan 632 orang berusia antara enam hingga 17 tahun.

“Majoriti pesakit iaitu 2,240 kes adalah mereka dalam lingkungan umur 18 hingga 59 tahun dan selebihnya adalah warga emas berusia 60 tahun dan lebih,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Beliau berkata seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 1,992 kes dikesan melalui saringan kontak rapat.

“Dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan.” katanya.

Masidi berkata terdapat satu kluster baru direkodkan di Sabah semalam iaitu kluster Hamparan 2 di Kinabatangan yang merupakan kluster tempat kerja yang berlaku di sebuah ladang sawit di Mukim Sukau melibatkan 21 kes kumulatif sehingga semalam.

“Kes indeks adalah pembantu klinik wanita di ladang tersebut berusia 24 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada 18 Ogos setelah bergejala sejak 12 Ogos…daripada 77 kontak yang disaring terdapat 20 orang kontak sosial, pekerja dan tanggungan turut dijangkiti,” katanya.