- Iklan -
Berita

PAS yakin kerajaan akan jalin kerjasama lebih konstruktif libatkan pembangkang

Takiyuddin berkata kerjasama tersebut menjadi satu permulaan yang baik bagi membentuk landskap baru politik.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama

Setiausaha Agung PAS Takiyuddun Hassan hari ini berkata parti itu yakin kerajaan baru yang bakal ditubuhkan akan mewujudkan kerjasama konstruktif melibatkan pembangkang, mengatakan ia adalah langkah untuk melaksanakan reformasi dalam negara.

Takiyuddin berkata kerjasama tersebut menjadi satu permulaan yang baik bagi membentuk landskap baru politik.

“PAS amat bersetuju dengan pendekatan kerjasama politik rentas parti yang telah dipelopori kerajaan persekutuan sejak beberapa bulan yang lalu.

“PAS yakin kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama yang lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang ke arah langkah-langkah reformasi merangkumi semua sektor, institusi dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, langkah yang diambil adalah selaras degan realiti politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia di mana tidak wujud dominasi satu-satu parti politik selepas pilihan raya umum diadakan.

“Justeru, PAS menyambut baik sambutan pimpinan pembangkang utama di negara ini terhadap usaha pemulihan negara yang dilakukan kerajaan persekutuan.”

Semalam, ketika ditemui pemberita selepas pertemuan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Presiden PKR Anwar Ibrahim memberikan bayangan pembangkang tidak akan mengundi menentang Ismail dalam usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Pertemuan yang turut disertai Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Seiausaha Agung DAP Lim Guan Eng diakhiri dengan sebuah persetujuan yang ditandatangani bersama antara pembangkang dan kerajaan yang jarang sekali berlaku dalam negara.

Antara lain, mereka bersetuju untuk mencari titik persamaan dalam “mengurangkan suhu politik negara” seperti yang dinasihatkan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

“Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.”