- Iklan -
Berita

Umno dan Pejuang turut tolak cadangan bi-partisan PM

Kedua-dua parti mengatakan cadangan Muhyiddin Yassin untuk perjanjian rentas parti adalah berunsur rasuah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir (kiri) dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (kanan).
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir (kiri) dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (kanan).

Pejuang yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad dan Umno kelihatan senada apabila menolak cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar parti-parti pembangkang menyokongnya sebagai pertukaran kepada pelaksanaan reformasi yang sekian lama diperjuangkan oleh pembangkang.

Dalam kenyataannya, Pejuang menggambarkan cadangan rentas parti Muhyiddin sebagai berunsur rasuah, mengatakan ianya sebagai tindakan terdesak perdana menteri untuk kekal berkuasa.

“Beliau tidak berhak membuat tawaran seperti itu kalaupun mempunyai keabsahan sebagai perdana menteri, apatah lagi setelah hilang sokongan majoriti,” kata Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir dalam satu kenyataan, beberapa jam selepas Muhyiddin menggariskan tujuh reformasi akan dilakukannya sebagai pertukaran kepada komitmen parti-parti pembangkang untuk tidak menjatuhkan kerajaan ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

Kenyataan Mukhriz ini senada dengan Umno dengan presidennya Ahmad Zahid Hamidi yang menggambarkan cadangan Muhyiddin sebagai tindakan rasuah secara terbuka.

Zahid yang kini berdepan dengan pelbagai dakwaan rasuah dan penyelewengan berkata tawaran Muhyiddin juga merupakan pengakuan beliau sudah hilang legitimasi untuk kekal sebagai perdana menteri.

Muhyiddin menyenaraikan tujuh perkara dalam cadangannya kepada parti-parti pembangkang bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan yang menurut beliau boleh mencetuskan risiko kekosongan kuasa ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Antara lain, beliau berjanji untuk menyalurkan peruntukan dana yang sama rata kepada semua ahli Parlimen, menggubal undang-undang anti lompat parti, menghadkan penggal jawatan perdana menteri, dan memastikan perwakilan ahli Parlimen yang seimbang sama ada daripada kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen.

Muhyiddin juga turut berjanji untuk melaksanakan Undi 18 bagi membolehkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas mengundi pada pilihan raya akan datang.