- Iklan -
Berita

PM jemput semua parti bekerjasama berdepan Covid-19, sekat kleptokrat kembali berkuasa

Beliau menggariskan tujuh aspek bagi persefahaman dwi partisan bagi memastikan kestabilan kerajaan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan ahli-ahli Kabinet dalam perutusan khas hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan ahli-ahli Kabinet dalam perutusan khas hari ini. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mencadangkan sebuah “persefahaman antara parti” bagi mendapatkan sokongan daripada parti-parti di luar gabungan Perikatan Nasional (PN) demi memastikan kerajaan tidak jatuh ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

“Ini akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

“Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara,” kata Muhyiddin dalam perutusan khas hari ini yang turut disertai beberapa menteri Kabinet.

Beliau turut berkata, persefahaman ini adalah penting bagi memastikan kumpulan “kleptokrat” tidak kembali berkuasa.

Beliau berkata dengan sokongan kukuh, kerajaan berikrar untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:

    1. Peruntukan dana sama rata kepada semua ahli-ahli Parlimen antara dua pihak kerajaan dan pembangkang.
    2. Meningkatkan perbelanjaan sebanyak RM110 billion dalam usaha menangani krisis Covid-19 termasuk peruntukan tunai berjumlah RM10 bilion kepada 11 juta rakyat yang dikategorikan di bawah golongan B40 dan M40.
    3. Membentangkan rang undang-undang anti lompat parti dan menghadkan pentadbiran perdana menteri kepada dua penggal.
    4. Perwakilan seimbang dalam kalangan ahli-ahli Parlimen dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen.
    5. Pelaksanaan Undi 18 tanpa menunggu pandaftaran automatik.
    6. Komitmen untuk mendapatkan nasihat dengan ahli-ahli Parlimen sebelum membentangkan rang undang-undangan.
    7. Meningkatkan status ketua pembangkang dalam Parlimen setaraf menteri kanan.

Muhyiddin turut berjanji akan mengadakan pilihan raya pada hujung Julai tahun depan.

“Sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, saya akan memanggil sidang khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada perdana menteri dalam masa terdekat.

“Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini,” katanya.

Muhyiddin berkata malang sekali beberapa ahli Parlimen menarik sokongan terhadap beliau dan Kabinet ketika kerajaan sedang berhempas pulas menguruskan pandemik Covid-19.

Beliau berkata mudah baginya untuk keluar daripada kemelut yang dihadapi kerajaan ketika ini dengan meletak jawatan dan membiarkan Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri yang baru.

“Namun, sehingga saat ini tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri baru.

“Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baru tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual?”

Muhyiddin berkata dua bulan akan datang adalah sangat genting dalam usaha negara mencapai imuniti kelompok.

Menurutnya, Malaysia tidak mampu berdepan kemelut politik untuk mengganggu usaha tersebut.

PRU15 pada hujung Julai 2022

Dalam pada itu, Muhyiddin turut berikrar untuk mengadakan pilihan raya umum sebelum hujung Julai tahun depan jika situasi pandemik mengizinkan.

“Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa. Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.

“Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan.”

Usul undi percaya terhadap Muhyiddin dijadual akan dibentangkan pada 7 September depan.

Ia diumumkan selepas beberapa ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka terhadap beliau sebagai perdana menteri selepas pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak berkata mereka mengumpul 15 ahli Parlimen.

Beliau mengakui sebagai seorang manusia sekali gus perdana menteri kelemahan dan kekurangan tidak dapat dihindari dalam memikul tanggungjawab mengurus pandemik.

“Apa lagi dalam keadaan saya sebagai perdana menteri yang memikul suatu tanggungjawab berat untuk mengurus pandemik yang luar biasa ini sejak lebih setahun yang lalu.

“Pastinya, saya memerlukan sokongan dan dokongan daripada rakan-rakan saya dalam kabinet, pimpinan kerajaan negeri, pegawai-pegawai kerajaan, frontliners dan rakyat seluruhnya untuk membolehkan saya melaksanakan tanggungjawab membawa negara ini keluar daripada krisis.”

Muhyiddin turut menyasarkan ucapan beliau hari ini terhadap sekumpulan pemimpin Umno, mengatakan rancangan beliau menjemput pembangkang untuk mengadakan persefahaman bersama adalah bagi menyekat kumpulan tersebut daripada kembali berkuasa.

“Saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera,” katanya, meruju beberapa pemimpin Umno termasuk Zahid dan Najib yang kini berdepan pelbagai pertuduhan rasuah.