- Iklan -
Berita

Khairy tunggu keabsahan PN bulan depan, ada masalah kepercayaan dengan Zahid

Ahli Parlimen Umno itu mahu jalankan amanah untuk memastikan sasaran negara mewujudkan imuniti kelompok tercapai.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berharap Umno dapat menunggu keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibuktikan pada sidang Parlimen September ini.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu berkata ini kerana beliau mahu meneruskan tugasnya bagi memastikan sasaran negara ke arah mewujudkan imuniti kelompok dapat dicapai.

Mengakui masih ahli Umno dan setia dengan parti, Khairy berkata apa yang penting baginya ketika ini ialah menjalankan tugas yang diamanahkan untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam negara.

“Biar saya buat kerja saya, vaksinasi ini soal nyawa rakyat Malaysia, selagi tidak ada undian, biarlah saya buat kerja.

“Bagi pihak Umno, saya menteri Umno, nanti selepas kita dah selesai undi, boleh kita buat keputusan apa tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita ketika melawat Iskandar Malaysia Studios yang dicadangkan menjadi tapak pusat pemberian vaksin baru di Johor.

Ini merupakan kali pertama beliau bersuara selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dalam sidang media pada 3 Ogos lepas, memaklumkan penarikan sokongan Ahli Parlimen parti itu terhadap kerajaan.

“Saya masih lagi dalam kerajaan sebab saya ada masalah kepercayaan terhadap presiden Umno,” katanya sambil menambah isu tersebut timbul selepas Zahid menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mendakwa semua ahli Parlimen Umno menyokong ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Khairy berkata terdapat juga isu rakaman perbualan antara ahli Parlimen Bagan Datuk itu dengan Anwar, yang pada mulanya dinafikan oleh Zahid.