- Iklan -
Berita

KP kesihatan beri taklimat dalam mesyuarat majlis pemulihan negara Dr Mahathir

Dr Mahathir berkata majlis pemulihan Covid-19 yang diusahakan Pejuang akan memberikan syor dan cadangan kepada kerajaan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama

Majlis pemulihan Covid-19 yang diusahakan Pejuang hari ini mengadakan mesyuarat bagi kali pertama dengan menjemput Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk mendengar pandangan ahli-ahlinya.

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata ahli-ahli majlis tersebut mendengar taklimat yang dibentangkan oleh Noor Hisham sambil menambah mereka dapat menyerahkan cadangan dan syor melalui beliau kepada kerajaan dalam menghadapi pandemik.

“Kita boleh hantar kepada beberapa tokoh dalam kerajaan, mungkin juga kepada perdana menteri, menteri kesihatan, dan menteri-menteri lain yang terlibat,” katanya pada sidang media hari ini.

Bekas perdana menteri itu berkata waluapun majlis tersebut tidak diiktiraf secara rasmi, beliau percaya kerajaan mengikut beberapa cadangan yang beliau berikan sebelum ini, termasuk menubuhkan Majlis Pemulihan Negara.

“Beberapa idea yang kami berikan diambil oleh kerajaan,” katanya dengan memberi contoh langkah kerajaan untuk memulakan unit vaksinasi bergerak di kampung-kampung.

“Mungkin ia kebetulan, tetapi kerajaan sudah memulakan unit vaksinasi bergerak.”

Beliau berkata majlis tersebut sudah bersedia untuk memberikan cadangan-cadangan lain yang mungkin boleh dilaksanakan kerajaan, termasuk menghantar bantuan kepada mereka yang berada dalam kawasan “lockdown”, dan rawatan kepada pesakit-pesakit Covid-18 yang memiliki simptom ringan.

“Saya harap kita boleh beritahu kepada kerajaan. Sama ada mereka terima atau tidak, ia bukan masalah kami.”