Tuesday, September 21, 2021

Pemantau anti-rasuah desak kerajaan Hungary dedah butiran kontrak setengah bilion dolar kepada ahli perniagaan Malaysia

Transparency International berkata pihaknya bersedia untuk jalani proses mahkamah yang panjang bagi meningkatkan siasatan terhadap kontrak pembelian kontroversi tahun lalu.

Other News

Badan pemantau anti-rasuah global Transparency International di Hungary (TI-Hungary) mendesak Budapest mendedahkan butiran khusus berkaitan kontrak pembelian peralatan perubatan bernilai lebih dari setengah bilion dolar daripada seorang taikun perniagaan Malaysia tahun lalu.

TI-Hungary berkata wujud beberapa persoalan sama ada kontrak-kontrak tersebut diberikan kepada GR Technologies memenuhi peraturan-peraturan ketelusan di Hungary.

GR Technologies adalah sebuah syarikat yang diwakili ahli perniagaan Malaysia, Vinod Sekhar yang merupakan rakan rapat Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Syarat-syarat ketelusan di Hungary adalah sejajar dengan undang-undang ketelusan Kesatuan Eropah (EU) yang termaktub dalam arahan anti pengubahan wang,” kata Miklos Legati, ketua bahagian hal ehwal undang-undang TI-Hungary kepada MalaysiaNow.

Beliau berkata syarat kebebasan maklumat diserahkan kepada kementerian luar Hungary yang merupakan pihak bertanggungjawab menandatangani kontrak dengan GR Technologies.

Antara butiran yang dituntut adalah siapakah yang bertanggungjawab memilih GR Technologies sebagai kontraktor, selain perincian mengenai kelayakan syarikat, invois dan bukti pembayaran.

“Kami jangka tidak akan ada respons sewajarnya daripada kementerian dan kami bersedia untuk proses mahkamah yang panjang, namun kami akan lihat apa yang bakal berlaku nanti,” tambah Ligeti.

Seorang wartawan penyiasatan Hungary baru-baru ini memberikan salinan kontrak kepada MalaysiaNow.

Dokumen-dokumen itu diserahkan kepada beliau oleh kementerian luar negeri tahun lalu.

Dalam sebuah dokumen tersebut, kerajaan Hungary bersetuju membayar sejumlah AS$559,600,000, atau sekitar RM2.4 bilion kepada GR Technologies.

Penerima-penerima bagi pihak ketiga

Fakta yang menunjukkan Budapest bersetuju membayar fi yang dikenakan GR Technologies kepada pihak ketiga selain persoalan mengenai sama ada kerajaan melalui proses tender terbuka adalah antara kebimbangan yang timbul mengenai kontrak tersebut, kata Ligeti.

“Dalam kes ini, tidak jelas bagaimana kerajaan Hungary boleh memilih atau merekrut GR Technologies bagi membekalkan alat bantuan pernafasan dan alatan lain yang berkaitan,” tambahnya.

Legati berkata antara kebimbangan lain ialah mengenai beberapa penerima pembayaran daripada pihak ketiga yang diwakili dua syarikat: China-linked Silk Road Development Fund Management Holding Ltd dan sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura, Havelock International (Pte) Ltd.

Menurut Legati, undang-undang ketelusan EU menuntut setiap pembayaran kepada pihak ketiga harus turut menyertakan alasan mengapa cara pembayaran begitu dilaksanakan.

“Jika tidak ada, transaksi tersebut adalah bertentangan dengan syarat-syarat yang termaktub dalam akta perundangan Hungary mengenai akaun negara, yang menuntut pentadbiran kerajaan dan badan awam lain untuk menjelaskan syarat-syarat dan penerima faedah daripada pembayaran tersebut,” katanya.

Legati turut berkata wujud juga persoalan sama ada keabsahan GR Technologies benar-benar disahkan bagi memastikan ia memenuhi syarat-syarat ketelusan.

“Menurut undang-undang Hungary ketika ini, kerajaan hanya boleh memberikan kontrak kepada organisasi-organisasi yang disahkan telus dan wang negara hanya boleh diberikan atau diserahkan kepada organisasi yang telus,” katanya merujuk kepada dua undang-undang yang diluluskan oleh kerajaan Hungary ketika ini.

Pada Jun, MalaysiaNow melaporkan Sekhar, yang mengendalikan rangkaian syarikat dan organisasi di bawah Kumpulan Petra, memperoleh kontrak bernilai berbilion dolar bagi membekalkan alat bantuan pernafasan kepada kerajaan Hungary.

Pembelian alat pernafasan oleh Hungary daripada beberapa pembekal mencetuskan perbahasan hangat di negara itu apabila ahli politik dalam kalangan pembangkang menyifatkan rundingan-rundingan kontrak tersebut sebagai tidak jelas dan mengakibatkan bekalan berlebihan.

Sekhar baru-baru ini mengesahkan kontrak yang diterima beliau tersebut, namun menegaskan “semua urusniaga adalah telus”, sambil menambah dia menerima “peratusan normal” dalam komisen yang diperoleh daripada kontrak tersebut.

“Orang beri masa dan tenaga untuk mendapatkannya, dan mereka harus dibayar,” katanya dalam sebuah wawancara bersama sebuah portal berita.

“Pada akhirnya, saya akan dapat komisen dan saya akan berikan sumbangan kepada Hungary.”

Seorang ahli Parlimen pembangkang Hungary, Vadai Agnes memberitahu MalaysiaNow gesaannya untuk siasatan dilakukan terhadap pembelian tersebut ditolak oleh pendakwa raya.

Beliau berkata alat bantuan pernafasan yang dibeli oleh kerajaan terlalu mahal, memberikan contoh bagaimana kerajaan membeli satu unit alat itu dengan harga purata sebanyak 19.8 juta forint (RM270,000), sedangkan pusat perkhidmatan kesihatan Hungary hanya membayar harga purata sebanyak 10.8 juta forint (RM147,000) bagi satu unit.

“Dan tidak ada penjelasan mengapa wujud perbezaan harga tersebut daripada kerajaan,” kata Agnes.

Dalam pada itu, István Ujhelyi, seorang lagi ahli politik terkemuka Hungary mempersoalkan mengapa pembelian tersebut dilakukan melalui kementerian luar negeri.

“Pelik sebenarnya apabila pembelian peralatan kesihatan tidak dikendalikan oleh kementerian kerajaan yang bertanggungjawab untuk penjagaan kesihatan, sebaliknya oleh jabatan hal ehwal luar negeri,” kata Ujhelyi pada Oktober tahun lalu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles