- Iklan -
Berita

Singapura kembali laksana sekatan selepas kes baru melonjak

Kerajaan Singapura berkata negara itu akan kembali ke Fasa Dua, melarang makan di restoran dan perjumpaan sosial selama sebulan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bermula 22 Julai depan, penduduk Singapura tidak dibenarkan untuk makan di premis restoran dalam usaha kerajaannya membendung penularan kes Covid-19. Gambar: AFP
Bermula 22 Julai depan, penduduk Singapura tidak dibenarkan untuk makan di premis restoran dalam usaha kerajaannya membendung penularan kes Covid-19. Gambar: AFP

Republik Singapura hari ini berkata akan menarik balik kelonggaran sekatan pergerakannya berkait aktiviti sosial bagi membendung lonjakan kes jangkitan Covid-19 kebelakangan ini termasuk rekod 182 kes baru dalam tempoh 24 jam lalu.

Ia termasuk menguatkuasakan larangan makan di gerai dan restoran selama empat minggu bermula 22 Julai depan, selain mengehadkan peserta himpunan sosial dari lima orang kepada dua orang.

Dari 182 kes penularan tempatan yang dilaporkan di negara itu, 135 adalah berkaitan dengan kluster Pelabuhan Perikanan Jurong.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu juga berkata jangkitan dikesan di 28 pasar dan pusat-pusat makanan.

“Ini sangat membimbangkan, kerana ia akan menjejaskan ramai orang dalam masyarakat kita di seluruh negara,” kata kementerian kesihatan republik itu.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata langkah terbaru untuk kembali ke Fasa Dua atau tahap “amaran dipertingkatkan” akan memberi masa untuk pemerintah mencapai sasaran vaksinasi dua pertiga penduduk pada 9 Ogos depan, bersamaan dengan hari kebangsaan republik itu.

Ong turut berkata sekiranya sasaran vaksinasi mencapai sasarannya, bandar raya Singapura akan dapat dibuka walaupun kes harian berada di paras antara 100 dan 200.

“Oleh itu, sekarang bukan waktu untuk biarkan negara terdedah dengan risiko. Jadi, kita perlu hadapi ini, kita perlu sekat semula aktiviti sosial, dan gunakan waktu ini untuk pertingkat usaha vaksinasi,” kata The Straits Times memetik Ong sebagai berkata.