Thursday, August 5, 2021

Speaker Dewan Rakyat nasihat pimpinan PH baca Peraturan Mesyuarat, hentikan politik kebencian

Azhar Harun menasihati pemimpin PH supaya hentikan usaha melaga-lagakan beliau dengan pejabatnya dan Istana Negara berhubung pembukaan Parlimen.

Other News

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun hari ini menggesa pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) untuk mengkaji Peraturan Mesyuarat berhubung mekanisme penetapan urusan sidang khas Dewan Rakyat susulan kenyataan terbaru mereka yang menggesa perbahasan diadakan sepanjang sidang yang bakal dilaksanakan pada 2 Julai depan.

Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini mempertikaikan kenyataan Azhar pada 15 Julai lalu yang menjelaskan sidang khas dari 26 hingga 2 Ogos tersebut hanyalah bagi membolehkan penjelasan menteri-menteri tanpa perbahasan ahli-ahli Parlimen.

Pimpinan PH berkata Yang di-Pertuan Agong menggesa sidang Parlimen diadakan secepat mungkin beberapa kali termasuk pada 24 Februari, 16 Jun dan 29 Jun lalu supaya ahli-ahli Parlimen dapat membahaskan ordinan darurat yang dilaksanakan ketika ini, selain Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan mengenai usaha melawan pandemik Covid-19.

“Pakatan Harapan mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan kerajaan Perikatan Nasional agak tidak derhaka terhadap titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan terus membuka ruang perbahasan serta diputuskan bagi membolehkan Parlimen berfungsi semula secara normal dan ahli-ahli Dewan Rakyat boleh menunaikan tanggungjawab murni mereka membela hak rakyat,” kata PH dalam sebuah kenyataan hari ini.

“Tidak ada usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri dibentangkan oleh Pakatan Harapan yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.”

Dalam kenyataan kepada MalaysiaNow, Azhar berkata beliau “bingung dan hairan” dengan kenyataan PH tersebut.

“Saya mahu menasihati Majlis Presiden PH supaya membaca Peraturan Mesyuarat, terutama Peraturan 11(3), dan kenal pasti dengan sebaik mungkin entiti yang menetapkan urusan majlis sepanjang sidang khas,” katanya.

“Dengan pengalaman bertahun-tahun lamanya PH di Parlimen sebagai ahli mesyuarat, dan bahkan pernah menjadi kerajaan, selain barisan pengamal undang-undang yang memimpinnya, PH nampaknya tidak faham malahan tidak jelas dengan Peraturan Mesyuarat.”

Beliau turut menggesa supaya pimpinan politik untuk menghentikan tindakan yang disifatkan beliau sebagai “politik kebencian melalui salah guna maklumat dan naratif palsu”.

“Hentikanlah percubaan untuk laga-lagakan antara saya, pejabat saya dan Istana Negara dengan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang hanya sekadar permainan politik tanpa apa-apa hujah yang kuat,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles