- Iklan -
Berita

Singapura lapor 60 kes Covid-19 hari ini, tertinggi dalam tempoh 10 bulan

Peningakatan kes ini berlaku sebelum beberapa hari lagi negara itu melonggarkan sekatan pergerakannya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Setakat hari ini, Singapura telah mencatatkan kes jangkitan keseluruhan sebanyak 62,804. Gambar: Bernama
Setakat hari ini, Singapura telah mencatatkan kes jangkitan keseluruhan sebanyak 62,804. Gambar: Bernama

Singapura hari ini melaporkan 60 kes baru Covid-19 hari ini, angka tertinggi kes harian yang direkodkan negara itu sejak September tahun lalu.

Angka terbaru itu direkodkan selepas Singapura mengumumkan ia akan melonggarkan sekatan-sekatan yang berkuat kuasa ketika ini antara lain membenarkan lima orang berkumpul di premis makan berbanding dua orang sebelum ini.

Laporan-laporan media juga berkata 56 daripada kes yang direkodkan hari ini adalah penularan tempatan, di mana 41 daripadanya berkaitan kluster KTV.

Ia termasuk penumpang kapal Dream Cruises yang diarahkan untuk berpatah balik selepas beberapa jam dijadualkan berlayar awal hari ini.

Seorang individu yang didapati positif ujian PCR, dipercayai mempunyai kontak dengan kes lain sebelum berlayar walaupun dia dilaporkan oleh Straits Times telah menerima vaksin lengkap dan diuji negatif sebelum berlayar.

Jangkitan yang direkodkan hari ini menjadikan angka kes berkaitan kluster KTV sebanyak 53, meningkat dari hanya 12 kes pada Selasa.

Menurut NewsAsia, ia adalah kes harian paling tinggi direkodkan sejak 11 September tahun lalu dengan 86 kes dicatat, kes tersebut adalah berkaitan asrama pekerja.

Setakat ini, Singapura telah mencatatkan kes jangkitan keseluruhan sebanyak 62,804.

Kira-kira dua pertiga populasi negara itu telah menerima dos pertama vaksin.

Badan bertindak Covid-19 Singapura turut menganggarkan separuh daripada populasi negara itu akan mendapat vaksin lengkap pada akhir bulan ini.