Thursday, July 22, 2021

Malaysia tandatangani deklarasi perluas FTA dengan Turki

Menterui Miti Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perdagangan Turki Mehmet Muş menandatangani deklarasi bersama ketika Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke negara itu.

Other News

Malaysia dan Turki menandatangani Deklarasi Bersama mengenai Perluasan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA)antara kedua-dua kerajaan untuk memperkukuh mandat dalam melaksanakan perluasan perjanjian untuk merangkumi bab mengenai perkhidmatan, pelaburan dan e-dagang, menurut kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti).

Dalam kenyataan hari ini, Miti berkata perjanjian itu ditandatangani antara menterinya, Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perdagangan Turki Mehmet Muş semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke negara itu dalam usaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala dan menunjukkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Pemeteraian Deklarasi Bersama itu melambangkan komitmen kukuh daripada kedua-dua negara untuk terus mengambil langkah liberalisasi yang progresif semasa bentuk dasar perlindungan yang baharu mula wujud,” katanya.

Miti berkata mesyuarat dua hala antara Mohamed Azmin, yang juga Menteri Kanan, dan Mehmet telah membincangkan spektrum yang luas mengenai langkah-langkah untuk meningkatkan hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dua hala.

“Ini terutamanya, perbincangan tertumpu kepada pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA) dan hala tuju ke hadapan untuk meneruskan rundingan bagi memperluas MTFTA.

“Kedua-dua menteri bersetuju untuk meningkatkan usaha bagi memuktamadkan rundingan berasaskan teks mengenai perluasan MTFTA pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, dalam acara berasingan, Azmin turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Dasar Induk antara Sapura Technics Sdn Bhd dan Turkish Airlines Technic Inc di Istanbul, menandakan usaha sama strategik mengenai operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru.

“Pemeteraian tersebut menjadi bukti kepada usaha kerajaan dalam terus mengukuhkan hubungan perniagaan yang berterusan antara Malaysia dan Turki selain meningkatkan kemajuan ekosistem aeroangkasa Malaysia untuk menjadi peneraju serantau,” menurut Miti.

Dalam pada itu, Azmin menjelaskan strategi keluar Malaysia yang jelas dan komprehensif melalui Pelan Pemulihan Negara dan berkongsi bahawa Malaysia mempercepatkan program imunisasinya, menyasarkan untuk memastikan Malaysia akan mempunyai jalan keluar daripada pandemik yang cepat dan lancar serta seiring dengan trajektori pemulihan ekonomi yang kukuh dan berterusan.

“Menteri kanan itu memberi jaminan bahawa Malaysia komited untuk memastikan kemudahan menjalankan perniagaan melalui dasar yang mesra perniagaan dan langkah-langkah komprehensif untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi.

“Selain itu, pelaburan yang berkualiti dan berimpak tinggi dari Turki turut dialu-alukan untuk terus menjadi pemangkin kepada pewujudan nilai Malaysia, sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional negara,” menurut Miti.

Menurut Miti, Turki merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dan sumber import kelima di rantau Asia Barat pada 2020.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara adalah sebanyak RM9.62 bilion dengan eksport Malaysia ke Turki berjumlah RM7.62 bilion dan import sebanyak RM2 bilion.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles