- Iklan -
Berita

Ingkar SOP ziarah Pak Lah, Annuar Musa dikompaun RM2,000

Pengeluaran kompaun itu disahkan Ketua Polis Dang Wangi Mohammad Zainal Abdullah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa melambai kepada media dalam sebuah sidang media.
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa melambai kepada media dalam sebuah sidang media.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dikompaun RM2,000 berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kerana mengunjungi kediaman bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi pada Sabtu lalu.

Pengeluaran kompaun itu disahkan Ketua Polis Dang Wangi Mohammad Zainal Abdullah.

Menurut Zainal, Annuar diambil tindakan mengikut Peraturan 17(1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021.

“Kompaun dikenakan sebanyak RM2,000,” katanya hari ini.

Terdahulu, Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan memaklumkan menerima kompaun dikeluarkan pihak polis.

Pejabatnya berkata “beliau menerima kompaun daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan menjelaskan kompaun tersebut secepat mungkin.”

Sabtu lalu, tular ciapan Twitter Annuar menziarahi kediaman Abdullah.

Annuar berkata beliau dan isteri mengambil peluang menziarahi Abdullah dan isteri bekas perdana menteri itu, Jeanne Abdullah.

Bagaimanapun, tindakan tersebut dikecam pengguna internet kerana melakukan ziarah ketika perintah kawalan pergerakan diperketatkan dilaksanakan.