- Iklan -
Rencana

Zahid ‘koyak’ bila Annuar kata lebih ramai ahli akan keluar Umno

Ketika ini Zahid Hamidi diserang dari banyak sudut oleh pemimpin-pemimpin Umno.

Tun Faisal Ismail Aziz
3 minit bacaan
Kongsi

Jelas setiap kali Annuar Musa buka mulut, Ahmad Zahid Hamidi akan koyak. Zahid akan bersikap defensif. Kemudian menyerang Annuar dengan penipuan dan cerita rekaan.

Sikap “in-denial” Zahid ini bagus sebenarnya untuk Perikatan Nasional (PN). Sejak dulu lagi saya sudah beritahu – mula-mula rakyat akan tolak Umno kerana Zahid, selepas itu pengundi tradisi dan penyokong Umno, selepas itu ahli-ahli Umno.

Rakyat, pengundi tradisi dan penyokong Umno sudah lama menjauhi Umno. Selepas tu ahli Umno yang tidak berjawatan mula meninggalkan Umno. Selepas Pemilihan Umno, ahli-ahli Umno yang berjawatan atau pernah berjawatan sebelum pemilihan Umno pula mula meninggalkan Umno.

Nasihat saya kepada Zahid, tak perlu bersikap “denial” dan defensif. Menyerang Annuar tidak akan menghentikan penghijrahan ahli Umno dan penghijrahan undi ahli Umno kepada PN.

Saya juga nak ingatkan Zahid, beliau adalah presiden yang lemah selepas pemilihan tahun 2018. Bukan Annuar yang perlukan Zahid, tetapi Zahid yang perlukan Annuar selepas pemilihan 2018 kerana situasi Umno sangat teruk, bukan sahaja dari segi imej di mata rakyat selepas kalah PRU14, tetapi juga dari segi semangat, sistem kerja dan bebanan kewangan.

Ketika itu Zahid berdepan dengan krisis keyakinan dalam kalangan ahli Umno. Ramai nama-nama besar dan pemimpin Umno empat peringkat mempersoalkan hala tuju parti itu yang hendak dibawa oleh Zahid. 

Saya ingat lagi, di Janda Baik, hala tuju yang hendak dibawa oleh Zahid bercanggah dengan hala tuju yang hendak dibawa oleh Mohamad Hassan. 

Ramai yang tidak faham apa yang Zahid sampaikan tentang konsep 'amalgamated' Umno dan mereka lebih memihak kepada Mohamad Hassan.

Ketika ini Zahid diserang dari banyak sudut oleh pemimpin-pemimpin Umno. 

Siapa yang pertahan Zahid? Annuar, sejumlah kecil pemimpin dan saya sendiri yang mempertahankan Zahid. 

Saya boleh cakap, dalam Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan ketika itu majoriti ketua Umno Bahagian dalam Wilayah Persekutuan tidak mahu Zahid. 

Kemuncak kepada krisis keyakinan ini adalah Zahid dipaksa berehat dan sejumlah ketua Umno Bahagian dan pemimpin Umno keluar meninggalkan parti.

Tidak perlu membuat fitnah kononnya Annuar menyakau duit Umno. Tidak perlu jadi macam Anwar, cakap pasal dana judi, sampai sekarang tak ada bukti. 

Semua tahu ketika itu, kedudukan kewangan Umno tenat. Akaun bank Umno dibekukan, perbelanjaan mengurus sangat tinggi terutamanya yang melibatkan “payroll” kakitangan tetap dan kontrak, pengurusan ibu pejabat Umno dan pengurusan pejabat Umno di seluruh Malaysia.

Saya juga dimaklumkan ketika itu, sistem IT dan pangkalan data Umno pun sudah lesap dibawa lari.

Bukan itu saja, rupanya selama bertahun-tahun Umno beroperasi dalam keadaan menyalahi peraturan, iaitu tanpa cawangan-cawangan Umno menghantar Borang 9 disebabkan kecuaian Setiausaha Agung Umno yang lama dan berdepan dengan risiko diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Zahid mungkin lupa siapa yang membetulkan keadaan di ibu pejabat Umno ketika itu. Annuar yang telah membuat penyusunan semula sistem kerja, sistem pentadbiran dan sistem pangkalan data ibu pejabat Umno ketika itu. 

Gaji pegawai dan kakitangan terpaksa diturunkan sampai 30%, unit-unit tertentu yang banyak memakan belanja tapi kurang impaknya terpaksa ditutup seperti unit penaziran dan penamatan kontrak pegawai-pegawai lantikan politik atau projek terpaksa dibuat.

Bagi menggantikan sistem pangkalan data Umno yang dibawa lari, Annuar yang membawa sistem Mawar dalam sistem PRU Umno dan menubuhkan Juara. 

Inilah sistem yang digunakan Annuar untuk menang dengan undi yang lebih besar di Ketereh dalam PRU14 dan sistem ini jugalah yang telah membantu memenangkan 7 Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ini tidak termasuk jasa Annuar merealisasikan penubuhan Muafakat Nasional yang menyatukan PAS dan Umno, menjadi jururunding bagi pihak Zahid dan Umno untuk membentuk kerajaan selepas Langkah Sheraton, menjadi jururunding mengekalkan kerajaan negeri Perak di bawah PN dan bukan di bawah Jajaran Baru, menjadi jururunding peribadi Zahid dengan Muhyiddin Yassin berkaitan permintaan Zahid untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan banyak lagi.

Jadi Zahid, jangan jadi 'kacang lupakan kulit'. Bukan sedikit jasa Annuar kepada Umno, BN dan terhadap kamu, terutamanya apabila mempertahan, menyelamat dan melepaskan kamu ketika kamu tersepit.

Terimalah hakikat bahawa Annuar dan kami semua menentang kamu kerana kamu telah mengkhianati dasar-dasar Umno dan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2019, iaitu "No Anwar, No Dap" apabila kamu menandatangani surat menyokong Anwar menjadi perdana menteri dan membuat Jajaran Baru dengan DAP pada tahun 2020.

Berapa kali kamu menafikan dan bersumpah bahawa kamu tidak mengkhianati Umno, tetapi akhirnya bukankah kamu sendiri yang  mengaku di depan pemimpin Umno bahawa memang kamu yang tandatangan surat sokongan tersebut dan suara kamu di dalam rakaman audio tersebut?

Terimalah hakikat – rakyat, pengundi Umno, penyokong dan sebahagian ahli Umno menolak kamu dan ramai yang telah meninggalkan Umno kerana kamu. 

Insya-Allah jika kamu tidak “denial”, berundur secara terhormat, Umno akan pulih dan kembali diterima oleh ahli, pengundi dan rakyat yang sebelum ini menolak kamu.

Tun Faisal Ismail Aziz ialah ahli Bersatu.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.