- Iklan -
Berita

Lebih RM1 juta kompaun kesalahan merokok dikeluarkan pada Ogos

Ini berjumlah lebih 4,800 kompaun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sebanyak 9,230 notis kesalahan juga telah dikeluarkan melibatkan 22,204 premis.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sebanyak 9,230 notis kesalahan juga telah dikeluarkan melibatkan 22,204 premis.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan sebanyak 4,884 kompaun bernilai RM1.203 juta sepanjang bulan lepas atas kesalahan merokok, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau dalam kenyataan hari ini mengenai Pencapaian Tindakan Penguatkuasaan dan Perundangan di bawah Undang-undang Kesihatan Awam bagi Ogos 2023 berkata sebanyak 9,230 notis kesalahan juga telah dikeluarkan melibatkan 22,204 premis.

Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi, Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 3,188 kompaun bernilai RM1.59 juta telah dikeluarkan dengan purata RM500 bagi setiap kompaun.

Sejumlah 536 kes didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 93 kes disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM353,280, katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 7,030 premis makanan juga telah diperiksa dengan 222 premis atau 3.16 peratus premis diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan," katanya.