- Iklan -
Berita

Zahid akui suaranya dalam audio perbualan bersama Anwar, kata laporan

Zahid membuat pengakuan itu semasa pertemuan bersama dengan ahli-ahli Parlimen di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia malam tadi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akhirnya mengakui suaranya dalam rakaman telefon yang tular bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim, lapor Utusan Malaysia.

Akhbar itu memetik sumber dari seorang ahli Majlis Tertinggi Umno, Zahid membuat pengakuan itu semasa pertemuan bersama dengan ahli-ahli Parlimen di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di ibu negara malam tadi.

“Selain keputusan mesyuarat yang menolak cadangan menarik semula sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau (Zahid) mengaku itu suaranya dalam perbualan bersama Anwar yang viral tidak lama dahulu. Beliau kata Anwar yang hubunginya.

“Zahid juga mengaku menandatangani surat menyokong Anwar sebagai perdana menteri,” lapor Utusan Malaysia memetik sumber.

Menurut Utusan Malaysia semalam kira-kira 29 ahli Parlimen Umno mengadakan pertemuan di Wisma Perwira di Kuala Lumpur membincangkan isu keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang turut dihadiri Zahid dan Najib Razak.

Pada April MalaysiaNow mendedahkan sebuah rakaman audio perbualan telefon antara Zahid dan Anwar, menunjukkan bukti paling jelas bahawa wujud perancangan bersama dua pemimpin itu bagi mencorakkan nada kecenderungan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini.

Beberapa fail rakaman audio perbualan telefon yang tular di media sosial dan aplikasi perbualan dalam talian menunjukkan dua pemimpin itu saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan-perwakilan Umno bersetuju dengan usul Zahid supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan PN.

“Saya, dah 22 tahun, baru saya follow Perhimpunan Agung Umno,” kata Anwar sambil ketawa selepas memberi salam kepada Zahid dalam rakaman perbualan tersebut.

“Don’t worry, that is only tactical, OK,” jawab Zahid.

“No, no, okey, okey, I tengok ucapan you bagus, and then you did mention about majlis tertinggi, and of course kita nak finish the game, tapi kalau you dah fikir mandat tu, okeylah, cuma ada kerja sikitlah dengan MT,” kata Anwar.

Mereka berdua dipercayai merujuk ucapan Zahid dalam PAU yang tegas mengatakan beliau komited dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno iaitu “No DAP, No Anwar” dalam usaha membina kerjasama politik pada masa akan datang.

Sebelum ini kedua-dua Zahid dan Anwar tidak pernah mengakui tentang suara mereka dalam audio tersebut.

Bagaimanapun Anwar dalam sebuah program mengatakan tidak ada masalah sekiranya audio tersebut tulen walaupun tidak mengesahkan atau menafikannya.

Pada Oktober MalaysiaNow mendedahkan Zahid dan Najib menulis surat kepada Istana Negara, menyatakan sokongan mereka terhadap Anwar untuk menjadi perdana menteri sekaligus menggulingkan Muhyiddin Yassin.