- Iklan -
Berita

‘Pembersihan dalaman’ PKR bermula ketika pengikut setia Anwar bertembung selepas ketiadaan kumpulan Azmin

Anwar Ibrahim berdepan cabaran besar sebagai presiden PKR apabila perebutan pengaruh dalam parti antara orang kuatnya tercetus selepas 'kartel' baru muncul.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
PKR berdepan krisis sekali lagi apabila perebutan pengaruh antara dua orang kuat Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli (kiri) dan Farhash Wafa Salvador (kanan) tercetus dalam parti itu.
PKR berdepan krisis sekali lagi apabila perebutan pengaruh antara dua orang kuat Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli (kiri) dan Farhash Wafa Salvador (kanan) tercetus dalam parti itu.

PKR kini bakal berdepan krisis dalaman terbaru selepas kembali menjadi pembangkang, kali ini dalam bentuk perubatan kuasa dan pengaruh antara dua orang pengikut setia presidennya, Anwar Ibrahim.

Perkara ini berlaku selepas ketegangan antara setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli meletus sejak beberapa minggu lalu.

Sejak kebelakangan ini, Rafizi yang dilihat tidak banyak menonjolkan diri dalam parti selepas kalah kepada Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan nombor dua PKR dua tahun lalu nampaknya sukar menyembunyikan rasa tidak senangnya dengan Farhash.

“Anda harus kawal pejabat anda betul-betul,” kata Rafizi dalam sebuah ciapan kepada Anwar pada 18 Jun lalu.

Ciapan itu dilihat ditujukan kepada Farhash yang juga merupakan pengerusi PKR Perak dan kini berjaya meletakkan dirinya sebagai pemimpin nombor dua parti dengan kapasitinya sebagai setiausaha politik Anwar.

Seorang wakil rakyat PKR yang tidak mahu dinamakan memberitahu MalaysiaNow hubungan langsung Rafizi dengan Anwar yang dinikmatinya sebelum ini kini disekat oleh Farhash.

Rafizi pula dilihat memiliki pengaruh besar terhadap Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir.

Antara korban penyingkiran terbaru dalam parti itu termasuk pemimpin utama sayap pemudanya yang dilihat cenderung memihak kepada Farhash.

Setakat ini, MalaysiaNow difahamkan, jawatankuasa pimpinan pemuda di dua negeri telah dibubarkan, dan ketua-ketuanya diberitahu jawatan mereka digugurkan serta-merta bagi membolehkannya “dirombak”.

Berdasarkan dokumen yang dilihat Malaysianow, dua pemimpin tersebut adalah Ketua Pemuda PKR Selangor Najwan Halimi dan rakan sejawatnya di Perlis Azam Karap.

Selain itu, pimpinan pemuda di peringkat pusat parti juga turut menerima nasib serupa, antaranya Naib Ketua Pemuda PKR Syed Badli Shah, penolong setiausahanya Muhammad Naqib Nasaruddin dan timbalan pengarah strategi Fahrulrazi Zailan.

Syed Badli, yang sudah lama membina namanya dalam parti dengan usaha lantangnya mempromosi Anwar sebagai bakal perdana menteri menyelar perlucutan jawatannya dengan menyifatkan ia sebagai sabotaj dalaman namun tidak menamakan Rafizi dalam dakwaan tersebut.

“Langkah ini takkan mampu menyekat suara saya untuk terus pertahan parti dan DSAI.

“Sebab tugas utama sekarang ni adalah kerajaan yang sedia ada ini harus ditukar. Ini yang sepatutnya menjadi fokus dan bukannya sibuk pecat memecat,” kata Syed Badli.

Sejak kebelakangan ini, Rafizi berulangkali mengingatkan Anwar supaya tidak membiarkan dirinya dikelilingi kumpulan yang digelar “Kartel2″, gelaran yang merujuk kumpulan Azmin yang meninggalkan parti itu bersama beberapa ahli Parlimen PKR yang lain.

“Inilah apa yang cuba disuburkan orang-orang di pejabat anda – satu lagi budaya buruk dalam PKR untuk melahirkan#kartel2.

“Dan mereka ini menggunakan nama anda untuk halalkan semua benda. Satu hari, ketika mereka tak dapat apa yang mereka mahukan, mereka akan khianati anda sekali lagi!” kata Rafizi dalam ciapannya di Twitter.

Wakil rakyat PKR yang dihubungi MalaysiaNow itu turut berkata apa yang sedang berlaku dalam parti akan menjadi cabaran yang lebih besar kepada Anwar berbanding permusuhan Azmin-Rafizi sebelum ini.

“Ini kerana, Farhash dan Rafizi, dua-dua orang kesayangan Anwar, berbeza dengan Azmin yang memang jelas tidak disukai Anwar, kali ini Anwar sukar sekali nak kecewakan salah seorang daripada mereka,” katanya.