Thursday, December 9, 2021

Kesan susulan imunisasi di Malaysia masih di paras purata global

Setiap kesan buruk dipantau, dan sekiranya berlaku kematian selepas vaksinasi, bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca sebenar.

Other News

Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 meneliti dengan terperinci setiap laporan berkaitan kesan susulan imunisasi (AEFI), kata Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Dr Jemilah Mahmood.

Beliau berkata setiap AEFI dibincangkan dengan teliti oleh pasukan petugas dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam mesyuarat mingguan yang diadakan.

“Kami tidak menyembunyikan kebenaran; jika ada perkara yang perlu orang ramai tahu kita akan maklumkan. Buat masa ini apa yang dapat saya katakan ialah kami bermesyuarat setiap minggu, dan setiap AEFI kita teliti. Kami perlu memastikan setiap kesan buruk dipantau, dan sekiranya berlaku kematian selepas menerima vaksin, dalam jangka waktu tertentu, bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca sebenar.

“Punca setiap kematian sangat menyedihkan, tetapi kita tidak boleh mengaitkannya dengan vaksin semata-mata,” katanya pada sidang akhbar dalam talian selepas pelancaran Virus Hunter Campaign secara maya, pada Rabu.

Kempen itu dilancarkan bersama dengan duta Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D. McFeeters.

Dr Jemilah berkata AEFI Malaysia juga mengikut penanda aras global.

“Apa yang dapat saya sampaikan kepada anda adalah, jumlah di negara ini tidak tinggi berbanding negara lain dan jumlahnya berada dalam paras purata global,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Dr Jemilah berkata penting untuk memastikan keselamatan anak-anak terhadap jangkitan dengan menyediakan persekitaran yang selamat apabila sekolah dibuka semula.

“Jika mereka tidak boleh menerima vaksin, kita harus memastikan mereka berada di persekitaran mereka yang selamat untuk mengelak mereka dijangkiti virus,” katanya, sambil menambah sekolah juga harus memastikan bilik darjah mempunyai sistem pengudaraan yang baik sebagai langkah mencegah jangkitan.

Menurut beliau, kerajaan diharapkan dapat menyediakan garis panduan kepada masyarakat mengenai cara pengudaraan di ruang kerja mereka.

Virus Hunter Campaign ditaja kedutaan AS di Kuala Lumpur dengan kerjasama Kluster Sains Pulau Pinang untuk mendidik belia Malaysia mengenai perjuangan global melawan penularan penyakit dan sains di sebalik vaksin.

Ia adalah pameran maya, membantu belia untuk lebih memahami bagaimana penyakit merebak dan perjuangan global dalam memerangi penyakit berjangkit.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles