- Iklan -
Berita

Tempoh pengasingan Covid-19 dikurangkan 7 kepada 5 hari

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ini kerana berdasarkan kajian mendapati infektiviti kes Covid-19 tinggi pada lima hari pertama.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sekumpulan buskers membuat persembahan berdekatan stesen MRT Bukit Bintang di Kuala Lumpur pada 27 Mei.
Sekumpulan buskers membuat persembahan berdekatan stesen MRT Bukit Bintang di Kuala Lumpur pada 27 Mei.

Tempoh pengasingan kes disahkan Covid-19 dipendekkan daripada tujuh kepada lima hari mulai 5 Julai ini, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau dalam kenyataan semalam berkata ini kerana berdasarkan kajian mendapati infektiviti kes Covid-19 tinggi pada lima hari pertama.

Zaliha juga berkata pesakit Covid-19 yang dahulunya diwajibkan memakai pelitup muka dalam kenderaan awam dan fasiliti kesihatan kini hanya dikehendaki (bukan wajib) memakai pelitup muka ketika berada di kedua-dua lokasi berkenaan.

Zaliha bagaimanapun berkata pemakaian pelitup muka amat digalakkan bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung terutama ketika berada di tempat sesak dan kawasan pengudaraan kurang baik.

Katanya individu bergejala respirator juga amat digalakkan memakai pelitup muka  ketika berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, bas/van pekerja dan bas/van sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain. 

Sementara itu, Zaliha berkata status Kawasan Tempatan Jangkitan di Malaysia yang akan tamat esok, dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi hingga 31 Disember 2023 walaupun penilaian situasi semasa Covid-19 berada pada tahap tidak membimbangkan dan perkhidmatan kesihatan tidak terbeban.

Beliau menjelaskan pelanjutan pengisytiharan itu masih diperlukan memandangkan terdapat risiko kemunculan varian dan subvarian baharu virus SARS-CoV-2 di negara ini.

"Selain itu, perhimpunan ramai yang dijangka berlaku semasa sambutan Hari Raya Aidiladha dan juga Pilihan Raya Negeri, berkemungkinan berisiko menyumbang kepada peningkatan kes dan membebankan sistem perkhidmatan kesihatan kerajaan jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Dr Zaliha juga memaklumkan bilangan kes baharu Covid-19 telah menunjukkan penurunan sebanyak 53.5% (5,801 kes kepada 2,698 kes) dan kes kematian 35.3% (17 kes kepada 11 kes) sejak lima minggu kebelakangan ini iaitu bermula Minggu Epidemiologi (ME) 21/2023 hingga ME 25/2023.

"Dari segi kapasiti hospital pula, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam dan pengisian katil fasiliti menurun manakala peratus pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal stabil pada enam peratus pada ME 25/2023 berbanding ME 24/2023," katanya.