- Iklan -
Berita

Pakar ekonomi beri amaran kewangan kelas menengah terjejas akibat pandemik

Penurunan kuasa berbelanja dalam kalangan M40 akan memberi kesan kepada ekonomi tempatan walaupun mungkin tidak memerlukan bantuan yang sama seperti B40.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berbelanja di pasar raya sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan di seluruh negara.
Orang ramai berbelanja di pasar raya sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan di seluruh negara.

Beberapa pakar ekonomi memberi amaran mengenai kesan serapan yang akan menjejaskan masyarakat sekiranya masalah kewangan kelas menengah atau M40 tidak ditangani dalam langkah-langkah ekonomi kerajaan melalui pakej rangsangan bagi mengurangkan kesan pandemik Covid-19 yang hanya tertumpu kepada kategori golongan berpendapatan rendah.

Profesor di Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata kumpulan M40 yang kehilangan pekerjaan dan mempunyai tanggungan kewangan besar seperti pinjaman rumah atau kereta sebenarnya menghadapi situasi serupa dengan golongan B40.

“Belia bandar yang menganggur boleh minta bantuan keluarga mereka, tetapi bagi ketua keluarga daripada kumpulan M40 yang mengalami musibah akibat wabak, sokongan keluarga mungkin tiada,” katanya.

Hakikat tersebut mungkin boleh menyebabkan mereka meminjam daripada peminjam haram atau “Ah Long” sekiranya tiada bantuan daripada kerajaan, katanya.

Takrifan M40 atau “Middle 40%” adalah yang memperolehi pendapatan bulanan dari RM4,850 hingga RM10,959. B40 atau “Below 40%” adalah mereka yang berpendapatan kurang dari RM4,849 sementara T20 atau “Top 20%” adalah golongan yang memperolehi pendapatan lebih dari RM10,959 sebulan.

Walaupun bantuan kerajaan dalam inisiatif seperti Penjana dan Pemerkasa Plus memberikan bantuan yang baik buat golongan miskin, mereka yang berada di kelas pertengahan dan diberhentikan kerja atau mengalami pemotongan gaji ekoran wabak Covid-19 juga turut mengalami kesukaran hidup.

Yeah berkata, bagi golongan ini, mencari pekerjaan baru atau peluang menjana pendapatan adalah “sangat penting, terutamanya jika mereka tidak dilindungi skim insurans pekerjaan”.

Beliau turut mencadangkan program pencarian kerja yang sesuai, latihan semula, tambahan kemahiran, dan program keusahawanan selain promosi untuk menceburi kegiatan pelaburan dalam dan luar negeri.

Pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara Baayah Baba berkata kelas menengah yang sukar menjalani kehidupan sekarang ini akan memberi kesan yang besar kepada ekonomi tempatan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata perbelanjaan M40 seperti pembayaran yuran pusat jagaan anak-anak, pinjaman bulanan, yuran pengajian tinggi dan juga hiburan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

“Sekiranya keadaan kewangan mereka terus merosot, mereka mungkin terpaksa mengeluarkan simpanan dan akan kurang berbelanja.

“Ini akan mempengaruhi KDNK,” katanya.

“Ketika kuasa membeli atau berbelanja mereka berkurangan, kita mungkin akan melihat kedai dan gerai terpaksa ditutup.”

Beliau berkata, pembukaan kedai-kedai barangan murah yang bercambah di seluruh negara adalah satu petanda kelas menengah sudah semakin menyusut.

Beliau juga menyambut baik penambahan moratorium pinjaman bagi golongan M40, mengatakan ia akan meringankan beban dan membantu mengukuhkan kuasa berbelanja dalam memacu ekonomi negara .

Namun, seorang ahli ekonomi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Calvin Cheng berpandangan kuasa berbelanja golongan M40 tidak terjejas teruk dalam jangka masa panjang.

“Kesan pandemik hakikatnya lebih memberi kesan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan dalam kalangan pekerja bergaji rendah, jadi penurunan dalam perbelanjaan isi rumah berpendapatan sederhana atau pertengahan tidaklah begitu besar,” katanya.

“Kadar faedah simpanan mereka mungkin meningkat tetapi secara umum saya rasa selepas lockdown mulai longgar, perbelanjaan isi rumah berpendapatan sederhana dan tinggi akan terus meningkat.”

Beliau juga mengingatkan kerajaan agar tidak memberikan jumlah bantuan yang sama kepada kedua-dua kumpulan B40 dan M40.

“Kita semestinya tumpukan bantuan kepada mereka yang berada dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau turut menambah l inisiatif kerajaan seperti i-Sinar dan i-Lestari serta pemotongan cukai pendapatan lebih cenderung membantu isi rumah berpendapatan sederhana dan pertengahan sedangkan mereka memiliki lebih banyak simpanan KWSP dan memiliki pendapatan yang cukup banyak susulan pengurangan cukai pendapatan.

Cheng mencadangkan tindakan fiskal yang lebih besar termasuk memperluaskan perbelanjaan kerajaan dalam program seperti Bantuan Sara Hidup atau Bantuan Prihatin Rakyat, selain membelanjakan wang bagi menaik taraf infrastruktur.

“Melalui perbelanjaan seperti ini, pemulihan ekonomi akan lebih adil bagi kelas menengah dan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.