- Iklan -
Berita

Jangan buat spekulasi berhubung hantaran Facebook Ismail Sabri, kata Azmin

Azmin berkata jemaah menteri mendukung penuh menteri pertahanan yang merupakan jurucakap kerajaan berhubung pandemik Covid-19.

Farhira Farudin
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, spekulasi tidak harus dibuat berhubung gambar yang dimuat naik Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semalam.

“Siapa buat spekulasi? Jangan buat spekulasi,” kata Azmin kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Menurut Azmin, Ismail dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah merupakan jurucakap kerajaan dalam krisis Covid-19.

“Sebagai ahli jemaah menteri kita memberikan dukungan yang cukup kuat kepada mereka berdua kerana mereka menggalas tanggungjawab besar dalam memerangi Covid-19.

“Kami sebagai satu pasukan, kita selalu mengambil keputusan secara kolektif,” katanya.

Semalam Ismail yang juga naib presiden Umno memuat naik gambar meninggalkan pejabat dengan kapsyen: “Saya dah tutup pintu depan tapi…”

Hantaran di Facebook itu menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk dikatakan bakal meletakkan jawatan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun dalam satu sidang media secara maya di Kuala Lumpur pagi ini, Ismail menolak spekulasi tersebut.

“Saya nak pulang (sudah habis kerja), sebab itu tutup pintu.”