- Iklan -
Berita

Kumpulan kesihatan awam kecam rancangan serbuan KDN, imigresen terhadap pendatang asing

Penahanan pendatang asing tahun lalu telah menyebabkan peningkatan mendadak di depoh tahanan imigresen.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pendatang asing beratur bagi menjalani ujian swab.  Kluster di depoh tahanan imigresen adalah antara penyumbang kes terbesar dalam negara tahun lalu.
Pendatang asing beratur bagi menjalani ujian swab. Kluster di depoh tahanan imigresen adalah antara penyumbang kes terbesar dalam negara tahun lalu.

Pusat Galen untuk Kesihatan dan Dasar Awam hari ini mengingatkan pihak berkuasa mengenai kesan tindakan keras tahun lalu terhadap pendatang tanpa dokumen di tengah-tengah kemuncak perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan pengumuman baru-baru ini oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin yang mengumumkan operasi-operasi penguatkuasaan imigresen akan dijalankan sepanjang tempoh “lockdown”.

“Tahun lalu, aktiviti penguatkuasaan yang menyebabkan ribuan orang daripada pendatang asing yang memiliki risiko jangkitan ditahan dan kemudian menyebabkan penularan virus di depoh tahanan sepatutnya menjadi pedoman kepada keputusan kerajaan berhubung isu ini,” kata CEO Galen Azrul Mohd Khalib dalam sebuah kenyataan.

Beliau turut memetik sebuah ciapan Twitter oleh Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimiee Daud yang berikrar mahu menahan “pendatang asing tanpa izin yang tinggal dan bekerja di tanah air tercinta ini tanpa sebarang dokumen, tak membayar cukai dan levi namun menikmati semua manfaat.”

“Kami akan melindungi hak-hak rakyat negara ini,” kata Khairul.

Namun, Azrul tegas mengatakan pendirian sedemikan adalah satu “kesilapan besar”.

“Sama seperti yang dilakukan sebelum 2020, ini adalah kesilapan besar. Anda tak boleh jalankan operasi-operasi demikian sewaktu perintah darurat kesihatan, lagi-lagi ketika pandemik. Ini hanya akan membuatkan usaha melawan pandemik gagal..”

Serbuan-serbuan terhadap pendatang asing tetap dijalankan tahun lalu walaupun Putrajaya memberi jaminan bahawa pendatang asing dan pelarian tidak perlu risau mengenai status mereka untuk tampil bagi saringan virus.

Beberapa laporan mengenai sebuah serbuan di pasar borong di Selayang pada Mei 2020 berkata sebanyak 1,368 pendatang telah ditahan termasuk 98 kanak-kanak.

Azrul berkata tindakan-tindakan ini telah menyebabkan keyakinan pendatang semakin kurang untuk tampil menjalani saringan, dan seterusnya jika didapati positif Covid-19 boleh terus mendapatkan rawatan.

“(Tindakan ini) akan mengancam usaha-usaha kerajaan untuk vaksinasi populasi dalam negara bagi mencapai imuniti kelompok,” tambahnya.

“Tindakan-tindakan ini bertentangan dengan objektif kesihatan awam.”

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin telah beberapa kali mengulangi jaminan kerajaan bahawa para pendatang tidak akan ditahan ketika mereka tampil untuk mendapat vaksin.

“Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam bersetuju supaya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula pada penghujung bulan ini turut membabitkan pemberian vaksin secara percuma kepada bukan warganegara yang menetap di Malaysia.

“Ini membabitkan semua golongan bukan warganegara yang menetap di Malaysia,” katanya dalam kenyataan bersama menteri kesihatan pada Februari lalu.

Azrul turut berkata adalah “tidak masuk akal” jabatan imigresen boleh memutuskan untuk melaksanakan tindakan sedemikian rupa sewaktu perintah darurat kecemasan kesihatan awam yang telah menyaksikan ribuan kes Covid-19 baru dilaporkan setiap hari.

“Wabak Covid-19 di Malaysia hari ini tidak sama seperti apa yang berlaku pada tahun 2020. Kita berada di gelombang keempat di mana keadaannya lebih menakutkan, sukar dijangka dan tidak stabil.

“Sekiranya perkara ini diizinkan untuk berlaku, operasi penguatkuasaan imigresen akan mengakibatkan lebih banyak kejadian penularan dan lonjakan besar jangkitan mendadak dalam kalangan pendatang, baik sebelum atau semasa penahanan, menambah kes baru yang awalnya hanya sedikit atau tidak ada,” katanya.

“Ini pernah berlaku sebelum ini. Mengapa kita harus biarkan sejarah berulang lagi, dan mengancam usaha kita dalam melawan Covid-19?”