- Iklan -
Berita

Angka kes Covid-19 meningkat, Singapura perketat sekatan

Restoran atau kedai makan hanya dibenarkan menyediakan perkhidmatan pembungkusan dan penghantaran.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sehingga tengah hari semalam, kes di Singapura berjumlah 61,453 dan 11 kluster. Peningkatan kes menyebabkan kerajaan meningkatkan sekatan bagi membendung Covid-19 di Singapura. Gambar: AFP
Sehingga tengah hari semalam, kes di Singapura berjumlah 61,453 dan 11 kluster. Peningkatan kes menyebabkan kerajaan meningkatkan sekatan bagi membendung Covid-19 di Singapura. Gambar: AFP

Singapura akan memperketatkan lagi peraturan untuk mengekang peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19 dalam komuniti, bermula 16 Mei hingga 13 Jun 2021, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF).

Pada sidang media maya hari ini, pengerusi bersama MTF Gan Kim Yong berkata walaupun pada 8 Mei lalu Singapura telah mengambil langkah berjaga-jaga namun masih terdapat peningkatan kes komuniti.

“Sejak seminggu lalu, 71 kes jangkitan tempatan dicatatkan. Sebahagian besar dikaitkan dengan kes atau kluster sedia ada. Tetapi kita mencatatkan 15 kes yang tidak punyai kaitan.

“Ini membimbangkan kerana kita tidak dapat kenal pasti punca jangkitan ini. Ini bermakna ada kes yang tidak dapat dikesan dalam komuniti,” kata Gan merangkap menteri kesihatan.

Gan berkata usaha pengesanan, pengasingan dan membendung jangkitan sedang giat dilaksanakan.

Kontak rapat yang dikuarantin mungkin ada yang positif dalam beberapa hari lagi, katanya.

“Kita di bawah fasa berjaga-jaga. Kita perlu bertindak pantas untuk memutuskan rantaian jangkitan virus. Oleh itu, langkah-langkah keselamatan akan diperketatkan,” ujar Gan.

MTF akan beralih kepada sekatan bersasar yang lebih ketat, antara lain saiz kumpulan yang dibenarkan hanya dua orang berbanding lima sebelum ini selain itu, restoran hanya dibenarkan menyediakan perkhidmatan pembungkusan dan penghantaran.

Baru-baru ini, Singapura melaporkan kluster baharu di Terminal 3 Bandar Changi dengan jumlah 46 kes setakat ini.

Selain itu sejak dua minggu lalu jangkitan membabitkan kluster pihak berkuasa imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Hospital Tan Tock Seng, Pusat Rawatan Komuniti Tuas Selatan dan Terminal Pasir Panjang telah dikesan.

Sehingga tengah hari semalam, kes di Singapura berjumlah 61,453 dan 11 kluster.

MIF berkata sejak semalam, Singapura sudah menyuntik lebih 3.2 juta dos vaksin Covid-19.

Kira-kira 1.9 juta individu menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala hampir 1.3 juta lagi telah disuntik kedua-dua dos, katanya.