Saturday, June 19, 2021

Pegawai kerajaan perlu hati-hati bercakap soal undang-undang

Mana-mana pihak juga tidak boleh sewenang-wenangnya membuat pentafsiran terhadap peruntukan perlembagaan kerana undang-undang adalah suatu perkara jelas.

Other News

Ketua-ketua perkhidmatan dalam kerajaan dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika bercakap mengenai undang-undang serta tidak membuat tafsiran mengikut emosi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata mana-mana pihak juga tidak boleh sewenang-wenangnya membuat pentafsiran terhadap peruntukan perlembagaan kerana undang-undang adalah suatu perkara jelas.

“Saya hendak memaklumkan bahawa sebagai menteri yang jaga perkhidmatan awam, saya hendak nasihatkan penjawat-penjawat awam, pegawai-pegawai kerajaan terutamanya ketua-ketua perkhidmatan dalam kerajaan supaya lebih berhati-hati apabila bercakap mengenai perkara yang berkaitan undang-undang.

“Sebagai contoh, dalam perlembagaan Perkara 140 jelas mengatakan bahawa untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada satu suruhanjaya yang dinamakan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP). Ini adalah satu suruhanjaya yang akan mengendalikan urusan berkaitan kenaikan pangkat, tatatertib, perkara kebajikan dan sebagainya terhadap seluruh anggota polis berjumlah hampir 130,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada Imam-imam Masjid Jumaat, halaqat dan penghulu bagi Parlimen Kota Bharu, di Kota Bharu hari ini.

Takiyuddin berkata dalam perlembagaan, jelas menyatakan bahawa SPP ini mesti dipengerusikan oleh menteri yang bertanggungjawab tentang polis dan dalam konteks ini adalah menteri dalam negeri.

“Jadi, jangan pula ada mana-mana pihak yang mempersoalkan, ini adalah peruntukan perlembagaan. Sekiranya ada apa-apa isu atau masalah dalam pentadbiran sesuatu jabatan, saya yakin pegawai-pegawai kerajaan tidak boleh mendedahkan perkara ini di tempat yang tidak sepatutnya.

“Sebaiknya mereka boleh dedahkan dalam mesyuarat di peringkat kementerian, suruhanjaya. Adalah tidak wajar untuk seorang pegawai kerajaan kononnya mendedahkan perkara ini di media massa,” katanya.

Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu berkata dari segi pentadbiran, perbuatan sedemikian boleh dipanggil tindakan yang membelakangkan atau mencela pihak kerajaan.

“Bukan saya kata pegawai kerajaan tidak boleh beri pandangan atau mengkritik tetapi mereka boleh menggunakan saluran,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kompaun dalam membendung pandemik Covid-19, Takiyuddin menegaskan orang ramai yang gagal membayar kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) boleh dibawa ke mahkamah mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles