- Iklan -
Berita

Tiada pertandingan jawatan ‘top 5’ PAS, kata Takiyuddin

Ini kerana hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden manakala satu daripada empat calon naib presiden menarik diri.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Lima jawatan tertinggi PAS iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan parti bulan depan. Gambar: Bernama
Lima jawatan tertinggi PAS iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan parti bulan depan. Gambar: Bernama

Lima jawatan tertinggi PAS iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak akan dipertandingkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-69 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata ini kerana hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden manakala satu daripada empat calon naib presiden menarik diri.

“Saya baharu menerima pengesahan seorang calon (naib presiden) menarik diri iaitu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Jadi untuk jawatan naib presiden tiada apa-apa pertandingan.

“Ini bermakna barisan naib presiden sedia ada dikekalkan iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Idris Ahmad, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Jawatan Presiden PAS ketika ini dipegang oleh Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata pemilihan tahun ini hanya melibatkan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat membabitkan 18 ahli jawatankuasa serta jawatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap.

Muktamar Tahunan PAS ke-69 dijangka berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam manakala Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS akan diadakan lebih awal iaitu pada 18 hingga 19 Oktober.

Selain itu, Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat dan Sidang Assabiqun PAS Pusat akan diadakan di Hotel De Palma, Shah Alam pada 19 Oktober.

Mengulas mengenai pembatalan kemenangan wakil PAS di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, Takiyuddin berkata PAS akan meneliti perakuan hakim Pilihan Raya sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kami hendak tengok dahulu apakah alasan dan dapatan yang dibuat oleh Hakim Pilihan Raya untuk kes (pembatalan kemenangan) Kemaman ini,” katanya.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada Selasa membatalkan kemenangan wakil PAS Che Alias Hamid yang mewakili PN di Parlimen Kemaman pada PRU15 selepas mendapati bantuan i-Belia dan i-Siswa diberi kerajaan negeri kepada pengundi semasa tempoh berkempen adalah rasuah.

Pada Jun lepas, kemenangan PN di Parlimen Kuala Terengganu turut dibatalkan atas alasan sama, namun PAS tidak merayu keputusan itu sekali gus membawa kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) serentak dengan PRN di enam negeri lain pada bulan lepas.