Saturday, December 4, 2021

‘Zahid suruh kami sokong Anwar’, dedah pemimpin Wanita Umno

Pemimpin kanan Wanita Umno sahkan dakwaan Shahidan bahawa Zahid berusaha kumpul sokongan untuk Anwar.

Other News

Orang kuat Umno Perlis Shahidan Kassim tetap tidak mengaku kalah selepas langkah presiden parti itu memecat sekali gus menggantikan beliau dengan orang lain daripada jawatan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis dan berikrar akan mendedahkan segala usaha pemimpin utama parti itu mengumpulkan sokongan bagi menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beberapa jam selepas berita pemecatan beliau, Shahidan berkata kepada media beliau akan mendedahkan butiran usaha Ahmad Zahid Hamidi tersebut.

Beliau berkata dirinya memilih untuk merahsiakan perkara tersebut, namun dalam sebuah temu bual dengan MalaysiaNow, beliau memberi isyarat untuk mendedahkannya kepada orang ramai.

“Sebenarnya saya mengetahui banyak benda tapi semua saya simpan untuk menjaga keharmonian parti.” kata Shahidan

Tahun lalu, Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak yang lantang mengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah bersama-sama menulis surat kepada istana bagi menyatakan sokongan mereka kepada Anwar dalam usahanya menjadi perdana menteri.

Kedua-dua mereka turut dipercayai merancang gesaan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), namun gesaan tersebut tidak menyebabkan menteri-menteri Umno meletak jawatan dari Kabinet kerajaan.

Shahidan yang merupakan antara pemimpin Umno yang membantah langkah memutuskan kerjasama dengan Bersatu berkata beliau tidak akan menunggu terlalu lama untuk mendedahkan kegiatan presiden Umno itu.

Menurutnya, Zahid dan sekutunya sememangnya menjalankan usaha “mendapatkan tandatangan” dalam kalangan ahli Parlimen Umno untuk menyokong Anwar.

“Memang ada bukti depa suruh orang tu sign, orang ni sign,” katanya kepada MalaysiaNow baru-baru ini.

Pemimpin kanan Wanita Umno turut mengesahkan kepada MalaysiaNow mengenai dakwaan Shahidan tersebut.

Exco Wanita Umno Shamsiah M Yassin berkata Zahid telah mendekati sayap parti itu untuk memujuk mereka menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Dia (Zahid) suruh kami sokong Anwar. Kita kata ‘no way’. Dia suruh sebelum ni sokong Anwar, kita kata kita tak akan ambil Anwar,” katanya kepada MalaysiaNow.

Akibat keengganan beliau memutuskan hubungan dengan PN, Shahidan teruk dipersenda perwakilan Umno ketika PAU yang diadakan bulan lalu sewaktu memberi ucapan yang tidak disiarkan secara langsung.

Kejadian tersebut turut dirakam dalam klip audio perbualan telefon antara Zahid dan Anwar yang didengar senang hati dengan hasil keputusan PAU.

Shahidan berpendirian bahawa Umno perlu bekerjasama dengan Bersatu selagi Parlimen belum dibubarkan sejajar dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno awal tahun ini.

Namun, Shahidan berkata walaupun beliau tidak setuju dengan gesaan Zahid supaya parti itu putuskan kerjasama dengan PN, beliau jelas tetap mendukung presiden parti itu.

“Masa Perhimpunan Agung baru ni semua negeri tak nyatakan sokongan kepada presiden, saya seorang sahaja kata sokong Zahid.

“Saya kata menyokong PN sampai pilihan raya depa ‘boo’ jadi maknanya orang yang boo itu, orang yang tak tau apa-apa hanya tau boo sahaja.”

Pemecatan Shahidan itu dilihat sebagai sebahagian usaha Zahid untuk membersihkan Umno pengkritiknya dari dalam Umno.

Pada Januari, Annuar Musa turut dipecat daripada jawatan setiausaha agung Barisan Nasional kerana mengkritik Zahid disusuli penggantungan keanggotaan timbalan pengerusi Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz.

Shamsiah berkata, Zahid selaku presiden parti tidak mempunyai formula untuk memenangkan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Saya biasa berjumpa dia (Zahid), masa sebelum Umno desak nak buat PRU15 bulan Mac, saya pergi jumpa dia, saya kata nak menang macam mana dengan keadaan sebelum tu baru sahaja pecat Annuar Musa. What’s wrong with you?

“Kenapa gaduh dengan semua orang? Sekarang ni saya nak cakap apa dengan orang bawah? Saya nak cakap macam mana dengan orang Umno?

“Dia diam, tak boleh jawab. diri sendiri pun tiada formula. Nak menang PRU15 tapi banyak lagi kerja tak selesai.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles