- Iklan -
Berita

‘Balutan’ ganja percuma untuk penerima vaksin di New York

Warga New York perlu mengesahkan mereka telah menerima vaksin bagi mendapatkan balutan ganja rekreasi yang diedarkan para aktivis marijuana.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Warga New York meraikan kebenaran penggunaan ganja dengan menguar-uarkan kempen "Joints for Jabs", balutan ganja percuma buat penerima vaksin. Gambar: AP
Warga New York meraikan kebenaran penggunaan ganja dengan menguar-uarkan kempen "Joints for Jabs", balutan ganja percuma buat penerima vaksin. Gambar: AP

Warga New York, Amerika Syarikat (AS) yang menerima suntikan vaksin Covid-19 mendapatkan “sebalut ganja” percuma yang diedarkan para aktivis marijuana dalam kempen “Joints for Jabs”.

Aktivis legalisasi marijuana atau ganja di bandar itu meraikan keputusan undang-undang yang membenarkan penggunaan marijuana bagi tujuan rekreasi di New York.

Mereka menguar-uarkan hadiah percuma balutan marijuana di Manhattan kepada sesiapa yang dapat membuktikan mereka menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

“Ini adalah kali pertama kami duduk bersama dan memberikan kepada orang ramai balutan marijuana,” kata Michael O’Malley, salah seorang penganjur “Joints for Jabs” di Union Square.

“Kami sokong usaha kerajaan pusat untuk vaksinasi orang ramai. Dan kami juga sedang cuba usahakan kerajaan pusat membenarkan penggunaan marijuana,” katanya.

Pihak penganjur memilih 20 April (4/20), sebagai acara tahunan dalam kalangan peminat marijuana.

Aktivis marijuana turut menghadiahkan balutan percuma di Washington DC.

Puluhan orang yang dilihat tenang beratur bagi mendapatkan balutan percuma mereka di New York bermula 11 pagi waktu tempatan.

Seorang wanita turut dilihat memegang sepanduk “pro-vaksin, pro-ganja.”

Pengedaran balutan ganja percuma itu selesai pada puku 4.20 petang.

Sepuluh minit menunggu, mereka hanya perlu menunjukkan kad vaksinasi, memberikan maklumat peribadi dan alamat emel.

Setelah itu, sebalut ganja adalah milik mereka.

Pengesahan itu diperlukan bagi mengelak orang yang sama beratur buat kali kedua.

Sarah Overholt, 38, bagaimanapun mendapat dua balutan marijuan selepas menunjukkan dua kad vaksinasi miliknya dan ibu berusia 70 tahun.

Menurut Overholt, marijuana dan vaksin adalah keperluan asas ketika ini.

“Saya gunakan marijuana setiap hari dan saya jadi lebih baik bila gunakan marijuana, percayalah,” katanya sambil menguntum senyuman.

“Semua orang perlu divaksin. Tak sepatutnya ganja pula jadi sebab mereka hendak terima vaksin.

“Namun kalau begitu caranya, apa boleh buat,” tambah Overholt yang menerima dos pertama vaksin pada 25 Mac lalu.

Pada 31 Mac, Gabenor New York Andrew Cuomo menandatangani undang-undang membenarkan orang dewasa berumur 21 tahun ke atas membeli marijuana dan menanam pokok peribadi di rumah.