- Iklan -
Berita

Kastam Perlis tumpas cubaan seludup 150kg ganja

Ganja itu dianggarkan bernilai RM650,000.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Paket ganja dirampas Jabatan Kastam Perlis dalam serbuan pada 16 Ogos. Gambar: Bernama
Paket ganja dirampas Jabatan Kastam Perlis dalam serbuan pada 16 Ogos. Gambar: Bernama

Jabatan Kastam (JKDM) Perlis menumpaskan cubaan menyeludup masuk 150 kilogram (kg) dadah jenis ganja dengan nilai pasaran dianggar berjumlah RM649,300 pada Rabu lepas.

Pengarahnya, Ismail Hashim berkata rampasan itu dilakukan menerusi satu serbuan kira-kira 7.50 pagi terhadap sebuah bot fiber berwarna hijau kuning tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan berdekatan jeti nelayan Kampung Bahagia, Kuala Perlis.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan, pihak kastam menjumpai tujuh kotak kertas yang dibungkus dengan plastik hitam disembunyikan pada ruang khas lantai bot terbabit.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kotak itu, kastam menemukan 150 bungkusan ketulan ganja mampat dengan anggaran berat 150 kg,” katanya kepada pemberita di Kuala Perlis hari ini.

Beliau berkata dadah itu dianggarkan bernilai RM649,000 dan boleh digunakan untuk 750,000 penagih dipercayai bagi pengedaran di sekitar utara negara. 

Katanya, turut disita bot dan satu unit enjin sangkut dianggarkan bernilai RM40,000.

Ismail berkata kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa penyeludup menggunakan khidmat "tonto" untuk memeriksa keberadaan pihak berkuasa bagi mengelakkan daripada ditangkap.

“Pada risikan awal, kastam mendapati sebuah bot dikemudi oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan telah memasuki perairan negara, namun suspek telah meloloskan diri.

“Kami tunggu selama 30 minit, namun tiada kelibat suspek di kawasan berhampiran,” katanya.