- Iklan -
Berita

PH namakan Anwar calon PM PRU15

PH juga akan mengadakan siri jelajah penerangan ke seluruh negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mewakili gabungan politik itu selain turut mengumumkan siri jelajah penerangan di seluruh negara.

Keputusan tersebut adalah antara hasil dari pemukiman dua hari pimpinannya di Port Dickson pada 8 hingga 9 April.

“Maka pemukiman pimpinan PH di Port Dickson pada 8 dan 9 April 2021 memutuskan bahawa pengerusi PH, Anwar Ibrahim mengetuai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). dan seterusnya diangkat sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.” kata PH dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama PH juga turut mendesak perdana menteri untuk segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen sekali gus menamatkan darurat.

Anwar dianggap sebagai calon perdana menteri sejak tahun 1999 sejurus beliau disingkirkan dari Umno oleh Dr Mahathir Mohamad.

Namun ketika kemenangan PH pada 2018, Mahathir yang pernah menjadi musuh politiknya diangkat sebagai perdana menteri dan dianggap sebagai punca menggagalkan peluang Anwar untuk menjadi perdana menteri ke-8.

Pada 23 September tahun lalu, Anwar mendakwa dirinya memiliki sokongan majoriti “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan bagi memenuhi hasrat sekian lamanya untuk menjadi perdana menteri.

Kemudian pada 13 Oktober, Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan bertentangan dengan dakwaan Anwar yang beliau sudah menyerahkan “dokumen sahih” kepada Agong menunjukkan dirinya memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, kenyataan PH turut mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan Prinsip dan Agenda Reformasi demi kepentingan rakyat.

“Kami akan menggerakkan semua wakil rakyat dan pimpinan negeri untuk memerah seluruh potensi dan keupayaan bagi menangani isu-isu dasar berkait pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Kami juga akan meneruskan proses libat urus bersama semua
pemegang taruh untuk membentuk manifesto PH.

“Kami akan memulakan siri jelajah ke negeri-negeri untuk memberikan penerangan kepada
rakyat berkait pendirian dan tawaran Pakatan Harapan menyentuh isu Ekonomi Rakyat,
Kestabilan Politik dan Krisis Pandemik Covid-19,” katanya.