- Iklan -
Berita

Empat Adun Bersatu boikot sesi libat urus Pulau Pinang

Tindakan boikot itu dilakukan berikutan dakwaan pimpinan kerajaan Pulau Pinang menarik balik peruntukan yang diluluskan 20 Januari lalu kepada Adun pembangkang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan pejabat Bersatu di Kuala Lumpur.
Bangunan pejabat Bersatu di Kuala Lumpur.

Semua empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu di Pulau Pinang bertindak memboikot sesi libat urus melibatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan semua barisan Adun yang bermula hari ini.

Empat Adun berkenaan ialah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).

Dalam kenyataan bersama, mereka memaklumkan bahawa tindakan memboikot itu dilakukan berikutan dakwaan pimpinan kerajaan Pulau Pinang bertindak berat sebelah kerana telah menarik balik peruntukan yang diluluskan pada 20 Januari lepas kepada Adun pembangkang berjumlah RM60,000, menerusi surat yang dikeluarkan pada 19 Feb lepas.

“Peruntukan tersebut amat penting untuk setiap Adun bagi melaksanakan projek infrastruktur kemudahan rakyat dan awam, namun kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk bermain politik dan tidak profesional terhadap Adun pembangkang tanpa menghiraukan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh rakyat pada hari ini,”

Dalam pada itu, keempat-empat Adun itu turut mendesak kerajaan Pulau Pinang untuk berhenti menghukum rakyat dan tidak bermain politik ketika majoriti rakyat masih berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi.

Sesi libat urus yang berlangsung dua hari bermula hari ini dijalankan bagi membolehkan setiap Exco mengemas kini perkembangan dan pelaksanaan dasar dan projek di bawah portfolio masing-masing berikutan penggantungan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sepatutnya berlangsung pada April ini susulan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diumumkan Kerajaan Persekutuan.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan ketika ini komposisi kerusi DUN dipimpin Pakatan Harapan (PH) dengan DAP memegang 19 kerusi, PKR (12 ), Amanah (dua), manakala Perikatan Nasional menerusi Bersatu mempunyai empat kerusi, PAS (satu) dan Umno (dua) kerusi.