Monday, August 2, 2021

Pusingan lengkap: Mengapa kerjasama Anwar dan Zahid tidak mengejutkan

Hubungan presiden PKR dan Umno itu kukuh walaupun mengetuai dua parti berlainan.

Other News

Kerjasama politik yang mesra antara pemimpin PKR dan Umno sememangnya bukan hal yang mengejutkan bagi pemerhati politik Melayu.

Serupa juga dengan pengakuan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang berkata sedang berunding dan mungkin akan bekerjasama dengan Umno yang diketuai Ahmad Zahid Hamidi.

Ia tidak mengejutkan.

Bahkan pengakuan itu melengkapkan hubungan mereka yang sudah lama bermula.

Hubungan mereka berdua bermula sejak 1970-an ketika kedua-duanya merupakan aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Ia mulai mekar ketika mereka berjuang dalam Umno pada 1990-an ketika Anwar menjadi timbalan presiden dan Zahid merupakan ketua Pemuda yang ketika itu dalam parti yang diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Zahid menjadi ketua Pemuda Umno pada 1996 disebabkan sokongan Anwar selepas orang kuat kepada Mahathir, Rahim Thamby Chik yang juga ketua menteri Melaka terpaksa berundur selepas dituduh mencabul gadis bawah umur.

Bagaimanapun, tuduhan tersebut kemudiannya ditarik balik oleh pendakwaraya kerana bukti tidak mencukupi.

Pada 1996, Pemuda Umno pimpinan Zahid menggempur persidangan “Second Asia Pacific Conference on East Timor” di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang diadakan aktivis Asia Pasifik sebagai solidariti kepada perjuangan rakyat Timor Timur bagi menuntut kemerdekaan dari Indonesia.

Setiausaha Pemuda Umno pada ketika itu, dan berdemonstrasi di hotel tersebut secara biadab sehingga menyebabkan aktivis-aktivis yang menggerakkan persidangan tersebut ditahan.

Saifuddin Nasution Ismail yang kini merupakan setiausaha agung PKR mengetuai sekumpulan penunjuk perasaan seramai 400 orang bersolidariti dengan penduduk Timor Timur. Gambar: Apchett II

Antara yang ditahan pada ketika itu adalah Chua Tian Chang, Syed Husin Ali dan Elizabeth Wong yang secara ironinya kini bersama-sama dengan Saifuddin dalam PKR.

Semasa perhimpunan Agung Umno pada Jun 1998, Zahid memulakan gerakan untuk menggulingkan Mahathir sebagai presiden apabila mendakwa kerajaan mengamalkan nepotisme dalam pemberian projek-projek penswastaan.

Ucapan kerasnya itu dilihat sebagai satu “serangan” terhadap kepimpinan Mahathir dan sebagai tindak balas, perdana menteri itu mengeluarkan senarai syarikat dan individu yang memperolehi projek-projek penswastaan dan kontrak kerajaan yang turut menyenaraikan nama Zahid sebagai salah seorang penerimanya.

Ketegangan antara Mahathir dan Anwar memuncak pada 2 September 1998 yang berakhir dengan Mahathir memecat bekas presiden Abim itu sebagai timbalan perdana menteri dan keesokannya sebagai timbalan presiden Umno kerana didakwa terlibat dengan perlakuan seks luar tabii dan salahguna kuasa.

Zahid menyokong Anwar yang dipecat dan terlibat dalam perhimpunan menjelajah ke seluruh negara sehingga menjadi salah seorang yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama-sama Anwar dan beberapa yang lain.

Bagaimanapun, Zahid yang dibebaskan pada 30 September 1998 kekal dalam Umno dan tidak bersama dengan penyokong-penyokong Anwar yang lain menubuhkan Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai Parti Keadilan Rakyat selepas bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pada tahun 2005.

Anwar kemudiannya dipenjarakan pada April 1999 selepas mahkamah mendapati beliau bersalah dalam kes salah guna kuasanya.

Zahid yang terus kekal dalam Umno dilantik sebagai timbalan menteri pelancongan pada era Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri sehinggalah menjadi timbalan perdana menteri ketika zaman pentadbiran Najib Razak.

Sementara Anwar pula, keluar masuk penjara, disabitkan dengan seks di luar tabii tetap terus bersama parti-parti pembangkang seperti DAP, PAS dan Amanah dari gabungan Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat hinggalah Pakatan Harapan (PH).

Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi masih berhubung sebagai teman rapat walaupun berbeza parti. Gambar: Facebook

Walaupun secara politiknya, Zahid dan Anwar dilihat renggang. Namun mereka masih kekal menjadi teman rapat.

“Mereka sebetulnya dapat bersama kerana kedua-dua mereka tak suka Mahathir,” kata bekas pegawai yang pernah bekerja dengan kedua-dua tokoh itu kepada MalaysiaNow.

Zahid juga adalah antara pemimpin Umno yang menyerang Mahathir apabila pemimpin berusia emas itu melancarkan bantahan terhadap Najib dalam isu skandal 1MDB.

Pada tahun 2017, Zahid juga adalah orang yang melancarkan serangan peribadi terhadap latar belakang keluarga Mahathir dengan mendakwa pemimpin Pejuang itu berasal dari India.

Ketika itu, Mahathir mendedahkan kenapa Zahid tidak suka dengan beliau.

“Zahid mesti ingat apabila Zahid jadi timbalan perdana menteri, datang jumpa saya cuba nak dapat simpati saya, sokongan saya.

“Saya kata benar-benar kepada Zahid, kalau pun Najib letak jawatan, Yang mana itu tak mungkin, Zahid kena tunggu Umno tentukan siapa yang nak ganti Najib,” kata Mahathir.

Pada 2016, Anwar dan Mahathir mula berbaik semula selepas saling menyerang satu sama lain untuk tempoh dua dekad.

Namun gencatan permusuhan politik itu ternyata sementara, bahkan PH pun tidak mampu menghalang mereka berdua daripada saling bermusuh.

“Anwar dan Zahid sedar mereka berdua kehilangan kuasa, ini mungkin peluang akhir untuk mereka selesaikan hal mereka selepas 23 tahun berpisah,” kata seorang bekas ahli Parlimen PKR.

Zahid, ketika ini berdepan dengan pelbagai pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, bersama-sama Najib yang sudah disabitkan bersalah tahun lalu dalam kes SRC International.

Bagaimanapun, kini, Anwar dan Zahid kembali bekerjasama.

Hubungan mereka lengkap satu pusingan.

Bahkan termaktub dengan dakwat sebanyak dua kali.

Pertama kali, dalam surat Zahid dan Najib kepada Agong menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Dan sekali lagi, selepas mereka berdua mengeluarkan kenyataan yang hampir serupa.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles