Wednesday, April 21, 2021

Ketawa pelawak Sepanyol, dan ‘memes’ sambut berita perbincangan PKR-Umno

Video tular mengenai dakwaan Anwar Ibrahim menjadi bahan ketawa di media sosial.

Other News

Ketawa Juan Joya Borja, seorang pelawak Sepanyol ketika berbicara pada tahun 2007 yang sering diambil aktivis di seluruh dunia bagi video satira mereka, muncul sekali lagi di Malaysia, kali ini dalam bentuk video lucu mengenai Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Hampir sejam selepas ahli politik veteran itu selesai mengadakan sidang medianya di Petaling Jaya semalam, klip berdurasi 16 saat mula tular di media sosial sebagai menyindir presiden PKR itu.

Video itu merakamkan kenyataan Anwar, di mana beliau mendakwa mempunyai “jumlah yang cukup” untuk membentuk kerajaan dan diakhiri dengan klip ketawa Juan.

Sarikata berbahasa Melayu turut diletakkan: “Kata ada nombor ‘strong, convincing dan formidable numbers’. Sekarang jadi ‘adequate’ numbers'” dijalankan menerusi rakaman ketawa Juan.

Video tersebut merupakan salah satu daripada beberapa video yang dikongsi dalam talian, mengingatkan orang ramai pada video serupa enam bulan lalu selepas pengumuman mengejutkan Anwar beliau memiliki majoriti untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kenyataan Anwar pada September lalu mengatakan beliau mempunyai sokongan “strong, convincing and formidable” atau “kukuh dan meyakinkan” di Parlimen, kemudian menjadi bahan ketawa oleh pengkritiknya melalui video dan grafik.

Semalam, seorang pemberita bertanya kepada Anwar apakah beliau masih memiliki nombor cukup untuk mendapat majoriti, dan kemudian dijawab pemimpin PKR itu beliau kini hanya memiliki “adequate numbers” atau “sokongan yang agak mencukupi”.

Antara sebab Anwar mengadakan sidang media semalam adalah untuk mengumumkan jaminan ahli-ahli Parlimen PKR yang ditemui beliau berhubung komitmen mereka bersama parti itu, susulan beberapa siri pembelotan yang menyaksikan tiga ahli Parlimen PKR keluar parti.

Beliau turut menjelaskan pengakuannya wujud rundingan awal dan kemungkinan bekerjasama dengan Umno berdasarkan beberapa prinsip.

Bahkan sebelum sidang media semalam pun, pengguna media sosial dan kumpulan borak politik WhatsApp sudah dipenuhi dengan jenaka terhadap rundingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Umno.

Satu video menunjukkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyanyikan lagu parti Umno “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat”, sementara satu lagi gambar menyatukan simbol keris Umno, mata PKR dan tanda roket DAP.

Bagi pengkritik sosial, Hishamuddin Rais, trend humor digital oleh rakyat Malaysia akan menjadi ciri khas kempen pilihan raya akan datang.

Beliau juga berkata ia akan berfungsi sebagai alat propaganda yang lebih berkesan.

“Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang ini akan tertumpu kepada generasi internet,” kata Hishamuddin, bekas pemimpin pelajar yang pernah menjalani kehidupan buangan di luar negara, kepada MalaysiaNow.

“Digital humor akan muncul, humor baru akan berkembang dari internet.”

Bagaimanapun, Hishamuddin, yang juga menulis blog mengenai ahli politik yang tidak digemari beliau menambah, peraturan asas humor masih sama.

“Humor akan berfungsi jika watak yang diketengahkan dikenali oleh semua orang.

“Dan humor berfungsi dengan sangat baik jika yang ditujukannya adalah penguasa atau orang yang berkuasa.”

Hishamuddin juga membuat kesimpulan mengenai humor di media digital, mengatakan ia lebih berkesan daripada ceramah tradisional.

“Dari segi propaganda, humor jauh lebih hebat dan meyakinkan,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles