- Iklan -
Berita

Naib presiden PKR, Xavier keluar parti, ikrar sokong PN

Ahli PKR sejak hari pertama parti itu ditubuhkan itu mengumumkan peletakan jawatan serta merta kerana terlalu kecewa dengan parti.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar. Gambar: Facebook
Bekas Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar. Gambar: Facebook

Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar hari ini menjadi ahli Parlimen terbaru meninggalkan parti itu, mengatakan kini beliau menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Kuala Langat yang sudah bersama PKR sejak 1998 itu berkata “sangat kecewa” dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku tahun-tahun kebelakangan ini.

“Keutamaan kita pada ketika ini seharusnya menyokong kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan hasil untuk membangunkan semula ekonomi.

“Ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan untuk melengkapkan program pemvaksinan dan lebih dari dua tahun untuk ekonomi kembali pulih,” katanya yang juga bekas menteri ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa selama 22 bulan dahulu.

MalaysiaNow difahamkan, Xavier sudah menulis kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun bagi memaklumkan beliau sudah menjadi ahli Parlimen bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa semalam.

Tindakan Xavier ini menyebabkan PKR hanya tinggal 35 ahli Parlimen selepas ahli Parlimen Tebrau dan Julau keluar parti bulan lepas, termasuk perhijrahan besar-besaran sejumlah ahli Parlimen pada 2020 yang menyaksikan tampuk pemerintahan kerajaan berubah.

“Saya akan terus memberikan khidmat kepada kawasan saya dan menyokong kerajaan sebagai ahli Parlimen bebas dan yakin akan menunaikan janji pilihan raya saya kepada penduduk Kuala Langat,” kata Xavier hari ini.

Xavier dilihat sebagai pengikut setia Anwar Ibrahim dan antara pengasas PKR pada penghujung 1990-an berkata hari ini, peperangan melawan Covid-19 hari ini memerlukan sokongan bi-partisan.

“Rakyat mahukan kestabilan dan memulakan semula ekonomi yang kini sedang dalam keadaan tenat. Untuk ini kita perlu melakukannya bersama-sama dan bukannya berperang antara satu sama lain,” katanya.