- Iklan -
Berita

Bank swasta Switzerland akui elak bayar cukai

Bank itu membantu sekitar 340 pelanggan menyembunyikan aset dan dana dalam beberapa akaun bank Switzerland.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi

Bank swasta tertua di Switzerland, Rahn+Bodmer mengakui membantu pelanggannya untuk menghindari cukai di Amerika Syarikat (AS) dan bersetuju membayar denda AS$22 juta, kata jabatan kehakiman (DoJ) AS  pada Khamis.

DoJ turut berkata, sekiranya firma yang ditubuhkan di Zurich pada 1750 itu mematuhi peraturan tertentu selama tiga tahun dan bekerjasama dengan pihak berkuasa, pertuduhan tersebut akan dibatalkan.

Rahn+Bodmer dituduh membantu pelanggannya di Amerika Syarikat untuk menyembunyikan aset dan wang selain mengemukakan dokumen pulangan palsu untuk mengelak daripada membayar cukai antara tahun 2004 dan 2012.

Jurubank syarikat itu membantu sekitar 340 pelanggan menyembunyikan aset dan dana dalam beberapa akaun bank Switzerland yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa AS, kata DoJ.

Bank itu bersetuju untuk membayar pihak berkuasa sejumlah AS$4.9 juta cukai yang belum dibayar, AS$9.7 juta bayaran yang diperolehinya daripada akaun yang tidak diisytiharkan, serta denda sebanyak AS$7.4 juta.